Mahasiswa.. Sudah Bangkit!!!
Kuala
Lumpur, 17 Dis : Himpunan aman Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik
(BEBAS) yang dianjurkan mahasiswa hari ini, 17.12.11 telah berjaya
melakar satu sejarah baru kepada gerakan mahasiswa.
Laungan
keramat seperti ‘Student Power!’, ‘Anak muda sudah bangkit!’, ‘Mahasiswa
sudah bangkit!’, ‘Mansuh AUKU’, dan ‘Tukar Kerajaan!’ telah bergema
sepanjang jalan di ibu kota bermula tengahari hari ini sehingga pukul 4
petang.
Perarakan bermula di Masjid Jamek
Menurut sumber,
perarakan himpunan telah dimulakan sebaik sahaja selesai solat zohor di
Masjid Jamek Kuala Lumpur diketuai Pengerusi BEBAS, Muhammad Safwan
Anang@Talib dan pemimpin gerakan mahasiswa lain.
Kehadiran hampir
1,000 mahasiswa dan anak muda serta beberapa wakil parti politik telah
membuatkan warga kota hari ini terpegun dan sering kali membunyikan hon
kereta sebagai tanda sokongan dengan aksi gempak-gempita anak muda
menuntut kebebasan akademik.
Diberitakan YB Tian Chua dari Parti
Keadilan Rakyat turut turun bersama mahasiswa dan anak muda berarak ke
komplesk membeli-belah SOGO.
Mesej sampai kepada rakyat
Muhammad
Safwan dalam ucapannya di hadapan perkarangan SOGO telah menyampaikan
amanat penting yang perlu didengar seluruh rakyat Malaysia tentang
perjuangan mereka.
“Saya seru ratusan rakyat yang berada di SOGO
ini untuk turut bersama kami dalam menuntut kebebasan akademik yang kami
bakal serahkan tuntutan memorandum ini kepada wakil pihak kerajaan dan
pembangkang sebentar nanti.”, ujarnya yang turut membacakan enam
tuntutan BEBAS kepada pemimpin negara.
Selain Safwan, turut
menyampaikan ucapan sambil disaksikan ratusan rakyat adalah Ketua Umum
Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI), Shahimi Ariffin daripada UniSEL yang
menggesa anak muda terutama mahasiswa terus menyatakan sokongan, bukan
sahaja dalam himpunan hari ini.
SUHAKAM terima memorandum
Sejurus
kemudian, kumpulan mahasiswa berkenaan yang terdiri daripada Solidariti
Mahasiswa Malaysia, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), AKSI,
Legasi Mahasiswa Progresif UPSI, PMIUM, ISI UKM, Ma’ruf Club UIAM,
Pro-Mahasiswa dan wakil-wakil mahasiswa daripada kampus timur, selatan,
utara dan borneo itu terus berarak untuk menyerahkan memo kepada
SUHAKAM.
Komisioner Suruhanjaya hak Asasi Manusia, Encik Sani
kemudiannya turun untuk menerima memorandum yang diserahkan Muhammad
Safwan sebagai tanda hak kebebasan akademik perlu diambil perhatian
serius.
Manakala Encik Sani dalam kenyataannya pula menyatakan
pihaknya akan mengkaji tuntutan kumpulan mahasiswa terbabit yang turut
meminta pihaknya (SUHAKAM) agar membantu usaha suara mahasiswa hari
ini.
Di hadapan pejabat SUHAKAM, diberitakan kumpulan mahasiswa
berkenaan telah melakukan beberapa gimik yang hampir mencetuskan
kemarahan seorang penunggang motosikal.
“Saya bayar road tax,
jangan buat kecoh kat sini.”, ujar penunggang motosikal berkenaan yang
kecewa dengan tindakan kumpulan mahasiswa yang tiba-tiba duduk di atas
jalan raya.
Namun situasi berkenaan berjaya dikawal dengan baik
pihak polis yang hari ini menurut wakil kumpulan mahasiswa terkejut
dengan sikap ‘baik hati’ pihak polis yang mengawal sepanjang perarakan.
Tiba-tiba Safwan ubah fikiran mahu jumpa Najib
Namun,
satu kejutan tiba-tiba dilakukan Pengerusi BEBAS, Muhammad Safwan yang
dalam ucapan penutupnya mahu mahasiswa teruskan perarakan setelah hampir
dua jam berarak dan mengadakan ‘Speaker Corner’.
Safwan dikhabarkan telah berubah fikiran kerana kecewa tiada pihak kerajaan mahu turun menerima memorandum BEBAS.
“Oleh
kerana wakil kerajaan masih tidak terima memorandum ini, kita akan ke
PWTC! Kita jumpa sendiri dengan Datuk Seri Najib! Setuju???”, tegasnya
yang kemudian disahut dengan penuh semangat oleh mahasiswa.
Datuk Saifuddin terima memorandum
Dan
sebaik sahaja mereka tiba di PWTC, secara tiba-tiba kumpulan mahasiwa
terbabit diberitakan cuba dihalang sekumpulan ‘Special Branch’ dan pihak
polis.
Namun hasil rundingan beberapa minit dengan wakil
kerajaan, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah
sudi turun untuk menerima memorandum BEBAS.
Datuk Saifuddin juga berkesempatan untuk menyampaikan pidatonya yang menyokong usaha mahasiswa menuntut kebebasan akademik.
“Tahniah mahasiswa! Saya akan bersama-sama kamu semua untuk perjuangkan isu ini.”, demikian antara ucapannya.
Diberitakan
terdapat juga mahasiswa melaungkan sepatutnya Datuk Seri Najib
digantikan dengan Datuk Saifuddin Abdullah sebagai Perdana Menteri
Malaysia.
Bendera Najib diturunkan
Namun, selang beberapa minit kemudian, seluruh yang berada di perkarangan PWTC dikejutkan dengan satu aksi menarik mahasiswa.
Sebuah
tiang bendera yang menggantung bendera Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib tiba-tiba digantikan dengan bendera ‘Academic Freedom’.
Yang
menghairankan, tiada seorang pun pengawal keselamatan dan pihak polis
yang berjaya mengesan tindakan beberapa mahasiswa tersebut.
Mereka
kemudiannya mengarahkan bendera ‘Academic Freedom’ berkenaan diturunkan
segera dan digantikan semula dengan bendera yang memaparkan wajah Datuk
Seri Najib. –
GZDaily