“Kamu tidak akan dapat faham agama, sebelum kematu buku lali di kaki”, itu pesan murabbi pada saya seawal usia putik jagung di kebun ilmu.
Disiplinnya banyak, murabbi terapkan pada diri.
MASA
Masa itu nyawa, jangan bermain-main dengan masa. Lantas kami hadir harus tepat pada masa. Awal tiba, bersilalah dalam gelap malam penuh gelita, tunggu minit dan saat yang dijanji, baru muncul membawa diri. Tamat usrah, jam dibetulkan, agar setiap seorang sama minit dan sama saatnya, sebelum sama fikir dan sama amalnya.
Itu disiplin murabbi ke atas diri…. sejak seawal putik jagung di kebun amal.
TAMBATAN ILMU
Ilmu datang, ilmu pergi.
Jangan sekadar pasang telinga, tanpa usaha memasang tali. Binatang liar diikat dengan simpulan, ilmu ditambat dengan catatan.
“Ke mana sahaja kamu pergi, pena dan kertas jangan tiada bersama diri” , itu pesan murabbi lagi.
Poket saya sentiasa terisi, dari usia muda hingga melewat senja, bahawa disiplin murabbi ke atas diri, sentiasa bersedia mencari ilmu, seperti sentiasa bersedia memberi ilmu.
BUKU DAN BACA
Membaca bukan untuk periksa. Membaca itu ibadah tanpa masa.
Ke mana sahaja berpergian dalam kesibukan, buku jangan tiada dalam genggaman. Justeru seawal usia putik jagung di ladang ilmuan, murabbi melatih diri dengan disiplin ini. Ke surau dengan buku, ke kelas dengan buku. Di stesyen bas dengan buku, di dewan makan juga bersama buku. Tidur berbantal sedap, di dada buku erat didakap. Sebelum mata terpejam rehat, buku ditatap tak pernah penat.
“Berdakwah itu memberi, membaca itu mencari. Jangan sibuk memberi, sebelum sibuk mencari”, itu nasihat murabbi, seawal usia putik jagung di padang Tarbiyah.
Itulah siang, itulah juga malam, yang mengiringi kehidupan saya selama di usia persekolahan. Pelajaran diusahakan cemerlang, dengan semangat Islam yang disemai murabbi.
Murabbi mendidik saya agar tua sebelum usia, kerana matang itu perlu, bekal perjuangan yang penuh liku. Kebudak-budakan dalam gurau sendaan, namun bersungguh dalam pertarungan.
Dialah guru, umpama bapa. Mengajar, mendidik, tak kira masa. Tarbiyah baginya, seni membentuk manusia. Bagai pesan Sayyid Qutb di dalam warisan tinggalannya.