oleh : Mohd Rashidi Hassan
"ANTA
dah makan," tegur Tok Guru kepada tatkala melihat kelibat penulis
memasuki bilik jamuan. "Alhamdulillah, sudah Tok Guru," jawab penulis
sambil mengangguk.
Tuan
Guru Nik Aziz Nik Mat terus membuka bekas polystyrene yang berada di
hadapannya. Bekas tersebut diikat dengan getah plastik. Di dalamnya ada
nasi putih, seketul ayam, sebungkus kuah gulai dan sebungkus cili.
Tiada makanan ala buffet. Tiada air sirap, tiada teh dihidangkan. Yang ada hanya air mineral dan nasi bungkus.
Itulah
jamuan untuk VIP PAS selepas Menteri Besar Kelantan itu merasmikan
Persidangan ICT PAS di Taman Melewar, 22 Oktober lepas. Tok Guru Nik
Aziz menjamu selera di bilik khas bersama Exco Kerajaan Negeri Kelantan,
Dr Mohd Fadzli Hassan, Che Abdullah Nawi, Setiausaha Politik, Wan Nik
Wan Yussof, Pengerusi Lujnah ICT PAS, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin,
Pengarah Urusetia Penerangan Kedah, Zulkifli Yahya dan Pensyarah Unisel,
Profesor Dr Azmudden Ibrahim.
Tok
Guru dan para VIP kelihatan berselera sekali menjamah hidangan. Mereka
menjamu selera dan berbual dengan nada yang amat santai.
Begitu
pun, akhlak Tok Guru tetap terpelihara. Beliau mencarik-carikan isi
ayam sedikit demi sedikit, dengan tangan kirinya menahan tulang ayam.
Selepas secubit ayam dijamah, beliau menuangkan kuah gulai sedikit-demi
sedikit, untuk dimakan dengan nasi. Begitulah selang-seli hidangan
dimakan hingga habis.
Berbeza
dengan kita. Kalau kita yang makan, kita akan ambil seketul-seketul
ayam dan koyakkan dengan gigi sahaja. Biasa kalau kuah gulai tu, kita
akan tuang sampai banjir dalam pinggan.
Sambil-sambil
mereka makan, penulis memerhatikan tingkah laku mereka. Para VIP PAS,
khususnya Tok Guru, tidak pernah merungut, walaupun pada pengamatan
penulis, nilai sebungkus nasi dan air untuk hidangan VIP, tidak sampai
RM2.50. Itulah juga hidangan yang disajikan kepada seluruh peserta
hidangan. Sama sekali tiada beza.
Pada
penulis soal harga tidak menjadi persoalan. Bukan soal mahal atau
murahnya sesuatu hidangan. Tok Guru tidak pernah melarang sesiapa pun
untuk menjamu selera dengan hidangan yang lazat-lazat. Asalkan mereka
mampu dan tidak membazir.
Tok
Guru juga tidak pernah menolak jika dijemput menjamu selera hidangan
yang mahal dan mewah. Tok Guru biasa menghadiri majlis bersama Raja-Raja
dan VVIP terkemuka. Moralnya, sama ada makan cara mewah atau makan cara
marhain, adalah sesuatu yang lumrah, yang tidak perlu
ditunjuk-tunjukkan.
Tetapi
Tok Guru tetap Tok Guru. Sifat tawaduknya bukan dibuat-buat. Dah memang
semula jadi sifat Tok Guru begitu. Hidangan yang simple dan murah.
Makan digerai bersama rakyat kebanyakan sudah biasa baginya. Tidak perlu
dihighlight dalam media, tidak perlu diheboh kepada satu dunia.
Bukan
macam Perdana Menteri 1Malaysia kita. Pada penulis, elok juga ditegur
Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. Kalau dah sifatnya bangsawan, hidup
sentiasa dalam kantung emas, usah nak berlakon seolah-olah berasal dari
gubuk yang buruk.
Kalau
asal kehidupannya sejak dilahirkan dah standard, kehidupan sedia mewah,
tiada salahnya. Teruskan sajalah, tidak perlu hendak dibuat-buat.
Lebih
baik Najib jadi dirinya sendiri. Usah jadi macam artis yang boleh
melakonkan apa sahaja watak. Berlakon jadi tok guru membaca tazkirah pun
boleh, berlakon jadi kasanova sambil meneguk 'air kencing syaitan' di
kelab malam pun boleh.
Pengampu-pengampu
Najib pun satu hal. Tak usahlah nak malukan PM kita, kononnya PM
berjiwa rakyat, sanggup makan nasi sepinggan RM4.00, kononnya Restoran
1Malaysia, begitu hebat menawarkan hidangan yang murah untuk rakyat.
Dalam
sekelip mata rakyat dapat membuktikan, harga makanan yang dimakan
Najib, seperti yang dihebohkan tok-tok dalang media pencacai bukannya
RM4.00 tapi RM6.00 sepinggan.
Minggu
lepas, semasa lawatannya ke Restoran Ukhwah, di Kuala Lumpur yang
dikatakan menawarkan Menu Rakyat, Najib menjamah sepinggan nasi, dua
ketul ayam, sepotong daging goreng, tauge, dan poppadom. Diriuhkan
1Malaysia bahawa harga sepinggan hidangan Najib itu RM4.00, malah ada
media pengampu cuba hendak murahkan lagi dengan harga RM3.50.
Tembelang
dan pembohongan Umno-BN terbongkar, dibuktikan apabila staf Ahli
Parlimen Batu, Tian Chua dihantar ke Restoran Ukhwah, mengambil lauk
yang sama dengan Najib, dicaj dengan harga RM6.00.
Apabila
didedahkan dalam media, Menteri Pengguna, Dato' Seri Ismail Sabri
Yaakob terkial-kial mempertahankan Menu Rakyat 1Malaysia, selepas
promosinya untuk menaik dan mengampu Najib, jadi backfire kepada
Umno-BN.
"Ketika itu ada beberapa lauk seperti ayam masak merah, ayam masak kicap dan daging, jadi PM hendak rasa kualiti lauk tersebut.
"Secara
asasnya menu nasi putih, sejenis lauk dan segelas air memang RM4.00,
malah ada yang lebih murah. Apabila kita ambil lebih daripada apa yang
ditawarkan dalam menu, maka kita perlulah bayar lebih," kata beliau
memberi alasan.
Namun,
Ismail tidak mampu menjawab mengapa Najib hanya membayar RM4.00 untuk
hidangan berkenaan. Kalau dah tau harganya memang bukan RM4.00, buat apa
Ismail Sabri nak biarkan media pengampu membohongi rakyat? Ataupun
Ismail Sabri memang kaki kelentong, sehingga memalukan bosnya sendiri.
Itulah
hebat Umno-BN ini, punya lah nak menunjukkan pemimpin yang berjiwa
rakyat, sampai menggunakan cara yang paling bodoh dan memalukan.
Nanti
orang akan balas balik pada Najib, nanti rakyat akan kata, buat apa
hendak menunjuk-nunjuk makan nasi RM4.00 sepinggan, sedangkan
perbelanjaan mewah PM, isteri dan keluarga menelan belanja berjutajuta
ringgit?
Macam
mana Najib hendak jawab, pengubahsuaian rumah mewah Seri Perdana yang
menelan kos berpuluh juta wang rakyat, dibandingkan ubahsuai rumah Tok
Guru hanyalah beratap zink dan berdinding separuh kayu?
Apa
Najib hendak beri alasan, jika rakyat mempersoalkan harga beg-beg
tangan Rosmah, pelbagai fesyen, pelbagai jenama mewah, sehingga menelan
belanja jutaan ringgit?
Apakah
tidak dinamakan mewah, berbelanja jutaan ringgit untuk majlis
pertunangan anak di Kazakhztan? Duduk di hotel mewah di Dubai dengan
harga mencecah RM100 ribu satu malam? Bercuti dengan menggunakan
perbelanjaan kerajaan di Perth?
Jika
anda memang jenis hidup mewah dan membazir, usahlah berlakon kononnya
susah macam rakyat kebanyakan, kononnya menjiwai perasaan dan kehidupan
rakyat miskin.
Sedar
dirilah, usahlah Najib berlakon hendak jadi tawaduk macam Tok Guru.
Usah jadi bahan gelak ketawa rakyat. Rakyat pun dah muak dengan lakonan
tidak menjadi ini.
To Najib, please be yourself.