oleh Ibnuyaacob
Sesungguhnya seperti yang telah kami maklumkan sebelum ini dalam beberapa artikel,
Dajjal itu memang susah untuk dikenali. Manusia hanya boleh mengenali
Dajjal apabila seseorang itu meneliti dan mengkaji secara menyeluruh
fakta-fakta dalam al-Quran, hadith, sirah dan lain-lain.
Kami memperoleh penegasan tentang penyataan bahawa Dajjal itu sukar dikenali adalah berdasarkan kajian dalam hadith di bawah:
Sabda Rasulullah SAW;
“Barangsiapa yang mendengar nama
Dajjal hendaklah ia berpaling darinya kerana demi Allah, sesungguhnya
apabila ia menemuinya dan dia menganggap bahawa dirinya adalah seorang
mukmin maka ia akan mengikutinya (Dajjal tersebut) dengan segala syubhat
(kebatilan) yang dia bawa.”
Hadis sahih riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Hakim dari Imran bin Hussain dan disahihkan oleh Syeikh Al-Albani dalam kitabnya Al-Misykat, hadith no:5488.
Hadith di atas tidak menggunakan langsung kalimah tersirat untuk
menunjukkan bahawa Dajjal itu sukar dikenali. Cukup bagi kita mengambil
kalimah berikut sebagai menegaskan teori kita.
Perhatikan kalimah “dia menganggap bahawa dirinya adalah seorang mukmin…”
Maksud bagi potongan kalimah ini ialah seorang muslim tersalah sangka
tentang seorang yang ia jumpa dan menyangka orang yang dijumpainya itu
adalah seoang mukmin sepertinya lalu muslim itu menurut orang tersebut
(Dajjal).
Jelaslah akan potongan hadith itu bahawa Dajjal itu sukar dikenali
sehinggakan orang Islam sendiri boleh menganggap bahawa Dajjal itu
seorang mukmin.
Apabila Rasulullah mengatakan demikian, apakah Dajjal itu nanti akan berperwatakan seperti seorang muslim?
Kemungkinan Dajjal Akan Menyamar Sebagai Muslim
Ia adalah suatu kemungkinan besar dan bagi kami ia bukan suatu
kemungkinan tetapi suatu perkara yang pasti. Setiap apa yang dinyatakan
oleh Rasulullah pasti akan berlaku kerana ia adalah ilham maklumat yang
cetuskan oleh Allah SWT.
Maka bolehlah kita meyakini bahawa Dajjal
suatu hari nanti akan menyamar seperti seorang mukmin sejati. Jika ia
bukan menjadi mukmin sejati masakan mana mungkin Nabi berpesan bahawa
ada orang Islam yang akan mengikutinya.
Manakala orang Islam yang mengikuti Dajjal
itu sudah pastilah orang Islam yang tidak mengkaji (atau mahu mengkaji)
langsung tentang hadith-hadith Rasulullah. Mereka hanya menjadi pembaca
hadith bukannya menghayati serta meneroka maksud hadith.
Kepentingan Ilmu Hadith dalam mengkaji hal ehwal Dajjal
Semua umat Islam WAJIB mempelajari ilmu hadith sebagaimana wajib
mempelajari Bahasa Arab. Ia bukanlah ilmu pilihan seperti yang dibentuk
oleh sistem pendidikan sekular kita. Yakni jika bukan dari sekolah agama
tidak perlu belajar.
Ilmu hadith adalah pelengkap kepada ilmu al-Quran, dalam erti kata
lain, hadith adalah penjelasan tentang fakta-fakta dalam al-Quran. Jika
kita hanya mempelajari al-Quran maka mana mungkin kita mengenali
ulama-ulama hadith, perawi hadith dan cara ia disanadkan.
Ringkasnya, jika tiada ilmu hadith maka sukar bagi kita untuk menepis dakyah-dakyah Dajjal yang dibawa melalui mazhab Wahabi.
Dan selain itu, tanpa hadith kita tidak akan mengetahui bahawa
menghafal 10 ayat pertama surah al-Kahfi adalah digalakkan untuk
menghindari dari fitnah Dajjal.
Syeikh Sayid Sabiq dalam kitabnya Anasirul Quwwah Fil Islam,
menegaskan bahawa ilmu hadith adalah salah satu cabang ilmu syariah
yang wajib dituntut sebagai unsur-unsur kekuatan dalam Islam.