Kolej kroni tuntut RM15 bilion dari PTPTN
Harakahdaily, 25 Mei
2012
KUALA LUMPUR:
PAS menyifatkan PTPTN kini menjadi sumber kewangan untuk mengkayakan kroni Umno
dalam perniagaan pendidikan mereka.
Tanpa menolak ada kebaikan yang dibawa PTPTN tetapi masalah
yang dihadapi negara sekarang adalah penyalahgunaan tabung ini untuk
kepentingan kroni ekoran kerangkanya yang tidak sihat.
Demikian kata anggota Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly
Ahmad, dalam kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini.
Beliau mengulas kejayaan wakil Pakatan Rakyat dalam debat
PTPTN, Rafizi Ramli baru-baru ini yang disifatkan beliau berjaya menyampai
mesej PTPTN perlu dimansuhkan dan digantikan dengan pendidikan percuma.
Dr Dzulkefly juga melahirkan rasa kebimbangan dengan usaha
Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang cuba mewajibkan semua pelajar
lepasan SPM menyertainya kerana unsur salah guna kroni juga sudah berlaku
sekarang.
"Saya mendapat maklumat tentang sebuah kolej swasta
yang kini sedang 'memaksa dan menuntut' PTPTN membuat bayaran RM15 bilion untuk
membiayai pelajar mereka mengikuti kursus jururawat yang dikenakan RM90,000
seorang untuk seluruh pengajiannya," beritahu Dr Dzulkefly.
Kolej swasta ini, katanya, menawarkan kursus jururawat
dengan jaminan kononnya kerja terjamin.
Atas alasan itu, kolej-kolej ini mengenakan yuran yang
tinggi kepada pelajarnya dan yuran ini diperolehi dengan membuat pinjaman
daripada PTPTN.
"Inilah bagaimana caranya kroni Umno ini memeras duit
rakyat melalui PTPTN ini," kata beliau kepada Harakahdaily.
Kini, kata Dr Dzulkefly , berlaku lambakan graduan kursus
jururawat dalam pasaran kerana
penawarannya sudah terlalu tinggi berbanding dengan keperluan negara.
"Sekarang kolej-kolej ini mula menuntut wang dari PTPTN
untuk pelajar mereka. Pelajar yang keluar pula tidak ada pekerjaan, bagaimana
mereka hendak bayar balik hutang ini.
"Hasilnya kerajaan yang terpaksa tanggung lalu membuat
pinjaman dari institusi kewangan untuk mengisi tabung ini sebagaimana yang
didedahkan Khairy (Jamaludin) dalam debat baru-baru ini," kata Dr
Dzulkefly.
Khairy dalam Debat PTPTN baru-baru ini memberitahu, PTPTN
membuat pinjaman dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan beberapa bank
untuk mengisi tabung PTPTN yang hampir kering itu.
Pelajar pula hanya perlu membayar balik pinjaman yang mereka
buat, manakala bunga atau faedah bank itu ditanggung oleh kerajaan, kata
Khairy.
Bagi Rafizi, kerangka tanggungan pendidikan melalui sistem
PTPTN itu menyebabkan negara menanggung terlalu banyak hutang dan akan sampai
masa kerajaan tidak mampu menampungnya lagi.
Sebelum masa itu sampai, beliau meminta PTPTN dikaji balik
dan Pakatan Rakyat mencadangkan pendidikan percuma ditawarkan kepada rakyat
negara ini.
Menurut Dr Dzulkefly,
sekurang-kurangnya 19 negara di dunia memberi ‘pendidikan percuma’ dalam
pelbagai pendekatan dan kaedah perlaksanaan di peringkat universiti.
Dari jumlah itu lapan negara yang tidak langsung mengenakan
yuran universiti: Argentina,
Brazil, Finland, Germany,
Iran, Mexico, Sweden dan Arab Saudi.
"Rafizi Ramli jelas sandarkan hujjah beliau bahawa
negara ini kaya. Benar, Bank Dunia mengiktiraf bahawa Malaysia adalah
antara negara terkaya di dunia diukur di segi ‘sumber per kapita’. Sudah tentu
sama atau lebih kaya dari kebanyakan negara tersenarai tadi," katanya.
Tegasnya, kata beliau, Rafizi berhujah bahawa negara yang
menjana RM181 bilion pendapatan setahun ini mampu memberikan pendidikan
percuma, seandainya rasuah dapat dikekang, ketirisan dikurangkan dan prioriti
diperbetulkan.