KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat memberitahu, Perdana Menteri telah menghantar surat kepada beliau
memintanya menghantar wakil untuk membincangkan pembayaran royalti
minyak untuk Kelantan.
Menurut beliau, surat itu dihantar kepada beliau Jumaat semalam dan sampai ke tangan Setiausaha Sulitnya, Rosdi Mohamad.
Perkara ini dimaklumkan oleh Tuan Guru Nik Aziz kepada Harakahdaily
sebaik sahaja selesai solat subuh di masjid berhampiran rumahnya di
Pulau Melaka pagi ini.
Beliau juga turut memaklumkan berita ini dalam tazkirah Subuh yang
disampaikan beliau sebaik sahaja selesai solat Subuh di Masjid Pulau
Melaka, bersebelahan rumahnya pagi ini.
Kelantan sejak sekian lama memperjuangkan agar Petronas membayar royalti
minyak kepadanya berdasarkan telaga minyak yang ada berdekatan dengan
pantai Kelantan.
Namun, kerajaan Pusat hanya membayar wang ehsan kepada wakilnya, Jabatan
Pembangunan Persekutuan (JPP) yang ada di Kelantan dan bukannya kepada
kerajaan negeri sebagaimana yang tercatat dalam perjanjian.
Ekoran itu, Kerajaan Negeri Kelantan telah memfailkan saman terhadap
Petronas namun kerajaan pusat memohon untuk menjadi defendan bersama.
Baru-baru ini, anggota Parlimen Gua Musang yang juga bekas Menteri
Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah meminta kerajaan pusat menyelesai isu
royalti Kelantan ini sebelum pilihan raya umum ke 13.
"Surat ni diterima oleh Setiausaha Sulit saya, Encik Rosdi (Mohamad).
Tetapi kerana hari cuti, dia baru bagi kepada saya," kata Tuan Guru Nik
Aziz kepada Harakahdaily.
Sebelum menghantar wakil Kelantan untuk berunding, Tuan Guru Nik Aziz
berkata, beliau akan menghadap Tuanku Sultan Kelantan untuk
membincangkan perkara ini.
Yang menariknya, istilah yang digunakan dalam surat ini adalah pembayaran 'bayaran tunai'.
Jawatankuasa ini pula akan bersidang dalam tempoh enam bulan bagi menentukan pembayaran ini.
Reaksi
Sementara itu, Tuan Guru Nik Aziz menyambut baik keputusan kerajaan ini dan menyifatkannya sebagai keberkatan bulan Ramadhan.
"Semoga Allah membuka pintu hati kerajaan Pusat selepas jawatankuasa ini bersidang," katanya.
Beliau juga beranggapan, apa yang berlaku ini sedikit sebanyak adalah
berkat doa rakyat Kelantan termasuk 40 orang ulama yang pergi ke Mekah
sebelum ini untuk bermunajat kepada Allah agar diselesaikan isu ini
segera.
Beliau juga meminta semua rakyat Kelantan terus berdoa agar pembayaran royalti ini menjadi kenyataan.
Tuan Guru Nik Aziz juga berkata, beliau sangat gembira jika bayaran
royalti ini menjadi kenyataan tetapi sedar ia adalah satu amanah besar
dari Allah.
"Harta kerajaan ini tidak boleh buat pandai-pandai, harta sendiri pun tidak boleh buat ikut sedap je," kata beliau.
Jadi kenyataan
Jika bayaran ini menjadi kenyataan bermakna apa yang dikatakan oleh dua
wakil kerajaan Pusat di Kelantan selama ini bercanggah dengan surat
Perdana Menteri ini, kata Tuan Guru Nik Aziz.
"PM nak buat jawatankuasa khas, Timbalan Menteri (Datuk) Awang Adek kata sudah bayar wang ehsan.
"Seorang lagi Menteri (Datuk Mustapha Mohamad) pula mengaku dalam DUN, dia yang sekat," kata Tuan Guru Nik Aziz.