Friday, July 13, 2012

SKR

Renungan untuk Pejuang Islam: KISAH KAAB IBN MALIK


          Gambar Hiasan


Dalam perang Tabuk, ada beberapa sahabat yang tidak berangkat berperang. Salah seorang di antara mereka adalah Ka’ab bin Malik.

“Aku sama sekali tidak pernah tinggal daripada mengikuti semua peperangan bersama Rasululah saw, kecuali dalam perang Tabuk. Aku tidak turut serta dalam perang Tabuk itu adalah karena kelalaian diriku terhadap perhiasan dunia; yang ketika itu keadaan ekonomiku jauh lebih baik daripada hari-hari sebelumnya” bisik hati Kaab keseorangan.

“Demi Allah, aku tidak pernah memiliki barang dagangan lebih dari dua muatan unta, akan tetapi pada waktu peperangan itu aku memilikinya” sambung bisikan hatinya lagi.

Ketika berlaku peperangan tabuk, keadaan sangat panas. Disamping, perjalanan dari Madinah ke Tabuk [tempatnya di antara hijir dan Damsyik di syria] amat jauh, juga pertempuran kali ini dengan bala tentera Rom, yang merupakan suatu kuasa besar di dunia ketika itu.

Ketika Rasulullah SAW mempersiapkan untuk berangkat, Kaab juga bersiap-siap. Namun, sedang dia bersiap-siap, hatinya mula berkata-kata untuk membatalkan hasratnya untuk tidak turut serta bersama dengan Nabi SAW.

Para sahabat sudah bertolak meninggalkan Madinah bersama dengan Nabi. Kaab bin Malik masih lagi berlengah-lengah di Madinah, sehingga semua para sahabat telah meninggalkan Madinah.

Ketika semua para sahabat telah meninggalkan Madinah, maka tinggallah Kaab bin malik. Apabila beliau keluar dari rumah, beliau hanya ternampak golongan yang tidak diwajibkan berperang, seperti orang-orang tua, kanak-kanak, perempuan dan sebilangan orang-orang munafiq.

Melihat keadaan itu, menyebabkan hati Kaab bin Malik mula mengeluh. Beliau sedar, bahawa beliau bukan dari kalangan mereka, terutama beliau bukan salah seorang dari kalangan orang munafiq.

Di Tabuk, Rasulullah SAW ada bertanya sahabat tentang Kaab. Soalan Rasulullah SAW itu dijawab oleh seorang lelaki dari Bani Salamah dengan menyatakan bahawa Kaab seorang yang sombong sehingga tidak terlibat dalam peperangan Tabuk pada kali itu.

Jawapan lelaki dari Bani Salamah itu disangkal oleh Mu’az bin Jabal, dan Kaab bin Malik dipertahankan oleh Mu’az dengan sedemikian hebat sekali.

Setelah pulang dari Tabuk, kebiasaan Rasulullah SAW setelah pulang dari medan peperangan, Baginda SAW tidak terus pulang ke rumah, sebaliknya menuju ke Masjid terlebih dahulu, dan menunaikan solat dua rakaat, dan berjumpa dengan tetamu-tetamu yang berkunjung tiba.

Setelah selesai menunaikan solat, ramai yang datang berjumpa dengan Rasulullah SAW. kebanyakkan mereka yang hadir ketika itu adalah orang-orang yang tidak terlibat dalam peperangan. Berbagai-bagai alasan yang dikemukakan, sehingga tidak dinafikan juga ada dari kalangan mereka yang bersumpah dengan nama Allah untuk mengukuhkan alasan mereka dihadapan Rasulullah SAW. Selalunya, mereka yang bersumpah tersebut adalah orang-orang munafiq.

Antara yang turut hadir berjumpa dengan Rasulullah SAW ketika itu adalah Kaab bin Malik. Apabila melihat Kaab hadir, Rasulullah SAW senyum kelat terhadap Kaab, namun tetap juga memanggil Kaab agar datang berhampiran dengan baginda.

Rasulullah bertanya Kaab, mengapa beliau tidak turut serta dalam peperangan Tabuk. Kaab berterus terang, memberitahu kepada Rasulullah atas tindakannya yang tidak hadir dalam peperangan Tabuk tersebut.

Mendengar penjelasan tulus dari Kaab bin Malik, Nabi SAW terus mengarahkan Kaab pergi. Tidak lama kemudian, kedengaran bahawa Nabi SAW telah mengarahkan para sahabat agar memboikot Kaab bin Malik; agar tidak bercakap dan melayan kaab bin Malik.

Arahan itu, bukan sahaja terhadap Kaab bin Malik, malahan terhadap dua orang sahabat lagi, iaitu Murarah bin Rabi’ Al-Amiri dan Hilal bin Umayyah Al-Waqifi.

Kemana sahaja Kaab pergi, boleh dikatakan semua tidak melayan beliau. Keadaan ini berlanjutan, sehingga Kaab dan dua orang sahabat lagi hidup dalam keadaan amat tertekan sekali.

Waima diboikot, Kaab tetap juga ’menebalkan mukanya’ menghadiri majlis-majlis yang melibatkan Nabi SAW, seperti majlis ilmu dan solat berjemaah.

Namun, disebabkan diboikot oleh sahabat, Madinah yang dahulunya dikenali sebagai bandar tempat mereka berbahagia telah bertukar seperti tempat yang dipenuhi dengan seribu satu kedukacitaan. Semuanya berpunca dari sikap malas mereka tidak mahu terlibat dalam peperangan Tabuk, ekoran mengenangkan ekonomi mereka perlu didahulukan.

Suatu hari, Kaab bin Malik telah pergi ke rumah Abu Qatadah. Semasa sampai di situ, Kaab mengetuk mengetuk pintu rumah Abu Qatadah.

Kaab mengucapkan salam kepada Abu Qatadah, tetapi salam Kaab itu tidak dijawab.

Kaab menegur, “Wahai Abu Qatadah! Aku mohon dengan nama Allah, apakah kau tahu bahawa aku mencintai Allah dan Rasul-Nya?”

Abu Qatadah diam. Sekali lagi, Kaab mengulangi perkataannya, namun Abu Qatadah tetap mendiamkan diri. Berkali-kali Kaab mengulangi perkataannya, tetapi tetap Abu Qatadah mengambil sikap mendiam diri sehingga dia hanya menyebut, “Allah dan Rasul-Nya lebih tahu!”

keadaan itu, benar-benar terkesan pada diri Kaab bin Malik, menyebabkan air matanya tidak tertahan lagi, menitis gugur ke bumi.

Kaab pulang ke rumah dalam keadaan sedih. Kesedihan seperti itu berlanjutan berhari-hari. Sehari dirasakan bagaikan setahun. Betapa dahsyatnya tekanan yang dihadapi oleh Kaab.

Dalam keadaan kesedihan sedemikian rupa, suatu hari datang seorang lelaki dari negara Syam menemui Kaab. Dia telah memberikan kepada Kaab sepucuk surat. Apabila Kaab membaca surat itu, ternyata ia datang dari Raja Ghassan.

Kandungan surat itu antara lain menyebut, ”… Selain dari itu, bahawa sahabatmu sudah bersikap dingin terhadapmu. Allah tidak menjadikan kamu hidup terhina. Maka, ikutlah dengan kami di Ghassan, kami berjanji akan menghiburkanmu!”

membaca kandungan surat itu, hati Kaab terus berkata, “Ini juga salah satu ujian!”

Lalu Kaab telah memasukkan surat itu ke dalam tungku dan membakarnya.

Dalam keadaan sedemikian sedih sekali, datang pula seorang utusan dari Rasulullah SAW kepada Kaab.

“Rasulullah memerintahkan kepadamu supaya kamu menjauhi isterimu!” kata lelaki itu sebagai membawa pesanan dari Rasulullah SAW.

Pesanan itu menambah lagi kesedihan hati Kaab.

”Apakah Rasulullah mengarahkanku agar aku menceraikan isteriku itu?” soal Kaab kepada lelaki terbabit.

“Tidak. Akan tetapi, kamu harus menjauhkan dirimu darinya dan isterimu itu, hendaklah menjauhkan dirinya dari dirimu!” kata utusan Rasulullah SAW itu lagi.

Arahan tersebut, bukan sekadar terkena kepada Kaab bin Malik, malahan terkena juga kepada dua lagi sahabat, iaitu Murarah bin Rabi’ Al-Amiri dan Hilal bin Umayyah Al-Waqifi.

Kesedihan dan hidup dalam keadaan serba salah itu berlarutan sehingga sampai cukup bilangan 50 hari. Setelah cukup 50 hari, di suatu pagi ketika Kaab baru selesai menunaikan solat subuh, sedang berzikir dan berdoa meminta ampun dengan Allah, agar dilepaskan dari kesempitan hidup dalam alam yang luas ini.

Sedang bermunajat tersebut, tiba-tiba kedengaran suara memanggil namanya.

”Wahai Kaab, bergembiralah kamu. Wahai Kaab bergembiralah kamu” kedengaran suara begitu berkali-kali.

Mendengar suara menyebut demikian, Kaab terus memahami bahawa Allah SWT telah memberi kemaafan terhadap kesilapan yang telah dilakukannya.

Dia terus sujud kepada Allah, mengucapkan syukur kepada ilahi. Apabila dia keluar dari rumah, kelihatan ramai yang hadir hendak memaklumkan berita gembira itu kepada Kaab. Ada yang datang dengan menaiki kuda, ada yang berlari-lari dan sebagainya.

Mulut mereka, tidak habis-habis menyebut, ”wahai Kaab, berbahagialah kamu. Wahai Kaab, berbahagialah kamu”

Kaab pun terus pergi mencari Rasulullah SAW. sesampai di hadapan Masjid, didapati ramai dari kalangan sahabat yang sedang menunggu kedatangan Kaab. Apabila sampai, Kaab terus masuk untuk berjumpa dengan rasulullah SAW dan didapati, bersama baginda ada dua orang sahabat lagi, iaitu Hilal bin Umayyah dan Murarah bin Rabi'.

Apabila berjumpa dengan Rasullullah SAW, Kaab tersenyum melihat Baginda, dan senyuman kaab itu dibalas oleh Rasulullah SAW. Baginda SAW terus membacakan satu firman Allah dari surah At-Taubah ayat ke 118 yang berbunyi;

وَعَلَى الثَّلَاثَةِ الَّذِينَ خُلِّفُوا حَتَّى إِذَا ضَاقَتْ عَلَيْهِمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ وَضَاقَتْ عَلَيْهِمْ أَنْفُسُهُمْ وَظَنُّوا أَنْ لَا مَلْجَأَ مِنَ اللَّهِ إِلَّا إِلَيْهِ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

Maksudnya;
”Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa merekapun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta mereka telah mengetahui bahwa tidak ada tempat lari dari (siksa) Allah, melainkan kepada-Nya saja. Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”.

Sumber:
http://g-82.blogspot.com/

ADVERTISEMENT
SKR

About SKR

Author Description here.. Nulla sagittis convallis. Curabitur consequat. Quisque metus enim, venenatis fermentum, mollis in, porta et, nibh. Duis vulputate elit in elit. Mauris dictum libero id justo.

Subscribe to this Blog via Email :