Saturday, July 14, 2012

SKR

Siapa yang boleh mengenali Dajjal?



oleh Ibnuyaacob
Rasulullah SAW memberi hadith yang banyak sekali tentang Dajjal sebelum baginda wafat. Antara hadith yang masyur ialah yang berkaitan dengan bentuk-bentuk fizikal Dajjal dari hujung rambut hinggalah hujung kaki. Baginda sendiri mengakui dalam suatu hadith yang berbunyi
“Tiada nabi selain diriku yang mengetahui lebih banyak tentang Dajjal.”
Ini bermakna, Rasulullah diperlihatkan Allah akan rupa sebenarnya Dajjal itu. Saya percaya Dajjal berselindung disebalik rupa yang palsu sekarang ini atau ketika ia muncul. Jika Dajjal itu mudah dilihat dan dikenali, tidak perlu sebegitu banyak hadith untuk menerangkan tentang Dajjal. Cukuplah sekadar 4 atau 5 hadith.
Berbalik kepada persoalan tadi, “Siapa yang boleh mengenali Dajjal?”,saya dengan yakin (InsyaAllah) ingin mengatakan orang yang mampu mengenalinya ialah:
“Ahli Tasawuf atau Ahli Sufi”
 Siapa ahli Tasawuf / Sufi ?....
Ahli tasawuf merupakan muslim yang menjadi kekasih Allah, sentiasa mendapat keberkatan Allah, dan juga sentiasa dimakbulkan doanya oleh Allah. Ahli tasawuf adalah orang yang dicintai Allah, kecintaan Allah terhadap golongan ini sehingga Allah berkenan menganugerahkan mereka pancaindera yang keenam iaitu membaca hati dan melihat perkara yang dihijab Allah.
Contoh terdekat yang boleh diambil kira ialah Wali Songo yang terdapat di Indonesia suatu ketika dahulu. Pada zaman sekarang, terdapat juga golongan yang mengamalkan tasawuf dan kebanyakannya berada di Kelantan (Malaysia) dan Selatan Thai (Thailand).
Terdapat juga seorang mudir yang dipercayai mencapai taraf wali iaitu Mudir bagi sebuah Pondok pengajian di Pengkalan Hulu, Perak. Beliau dikenali sebagai Pak Teh dan masih hidup sekarang.
Apakah Kelebihan Ilmu Tasawuf?
Kelebihan yang tidak boleh disangkal ialah kebolehan membaca danmenilai hati seseorang tanpa perlu bercakap dengan orang tersebut. Yakni seseorang yang bertaraf wali (Kekasih Allah) itu mampu mengetahui bisikan hati kita dan apa yang kita niatkan di dalam hati.
Contoh terdekat ialah Allahyarham Hj Ahmad Badawi di Kepala Batas, Pulau Pinang. Beliau menubuhkan  sebuah madrasah yang bernama Madrasatul Daeratul Maarifil Wataniah dan masih wujud sehingga sekarang. Beliau juga bapa kepada Perdana Menteri Malaysia.
Kewalian beliau (Ahmad Badawi) diakui oleh bekas-bekas pelajar madrasah tersebut. Menurut mereka, Hj Ahmad Badawi mampu membaca isi hati seseorang terutamanya pelajar-pelajar didikannya. Pernah suatu ketika apabila tiba waktu pendaftaran pelajar baru, beliau menghalau seorang pelajar kerana mengetahui niat sebenar pelajar tersebut.
Menurut bekas pelajar yang saya temui, rakan mereka (yang dihalau) itu bukan datang dengan niat untuk belajar tetapi datang dengan sebab ‘terpaksa’ dan‘dipaksa’ oleh ibu bapa mereka. Bagi mengelakkan timbul masalah dikemudian hari, Hj Ahmad Badawi tidak membenarkan pelajar itu mendaftar.
Menurut mereka lagi, semasa sedang belajar, semua pelajar boleh mendengar hentakan kaki beliau dari jarak lebih 50 meter. Sedangkan tubuh badan beliau hanyalah kecil dan tidak mungkin tapak kakinya mampu mengeluarkan bunyi hentakan yang kuat sebegitu rupa seolah-olah badannya mempunyai berat melebihi 200kg.
Amalan Ilmu Tasawuf
Pengamalan ilmu-ilmu tasawuf boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira status keilmuan agama. Ilmu ini hanya mendampingi orang-orang yang tidak cintakan dunia dan rindu akan akhirat. Kecintaan ini tidak ditonjolkan melalu ucapan sahaja tetapi merangkumi seluruh gaya hidup individu tersebut.
Apakah itu Tasawuf
Islam itu terdiri daripada 3 tiang agama, yang pertamanya ialah Tauhid, kedua ialah Fekah dan ketiga ialah Tasawuf. Mana-mana muslim harus mempelajari Islam berdasarkan turutan ini, bermula dengan mengenali tuhan melalui ilmu Tauhid, kemudian ilmu sosial, fardhu ain dan syariah melalui Fekah. Dan akhir sekali mempelajari Tasawuf sebagai menjaga hati agar tidak tergoda dengan nafsu dunia.
Ilmu ini tidak boleh dipelajari secara teori sahaja walaupun terdapat banyak buku-buku di kedai yang membicarakan tentangnya. Ilmu ini juga tidak boleh dipelajari sendiri kerana bimbang hati akan mudah tertipu dengan helah syaitan.
Walaupun mata pelajaran Tasawuf ada diwujudkan di peringkat universiti sama ada dalam atau luar negara. Objektif pembelajaran ilmu tersebut hanyalah sekadar pendedahan dan maklumat bukannya pengamalan.
Untuk mengamalkan ilmu-ilmu Tasawuf, seseorang haruslah mendapatkan seorang guru yang benar-benar alim dan mursyid dalam ilmu ini. Perlu juga diselidiki latar belakang guru tersebut kerana terdapat juga dikalangan orang Islam yang mengambil kesempatan menerapkan ajaran-jaran sesat terhadap penuntut-penuntut mereka.
Ringkasan Pencapaian Ilmu Tasawuf
Di dalam bidang pendidikan sekular sekarang ini, kepandaian pendidikan diukur dengan meletakkan tahap-tahap anugerah akademik seperti berikut:
  1. Diploma (Dip)
  2. Ijazah dan Ijazah Lanjutan (Bec)
  3. Sarjana dan Sarjana Lanjutan (MA)
  4. Doktor Falsafah (PhD)
Pemegang status ke-4 akan dianggap supreme dalam bidang ilmunya. Segala apa yang dilihat, diucap, dikaji atau diputuskan akan lebih diambil kira oleh masyarakat mahupun pemerintah.
Dalam ilmu tasawuf, pengamalan ilmu-ilmunya mempunyai tahap-tahap yang hampir serupa dengan pendidikan sekular. Cuma penetapan untuk mengejar tahap tertinggi bukanlah bertujuan untuk mendapat jawatan dan nama dikalangan masyarakat, ianya lebih kepada mengejar status sebagai kekasih Allah tanpa pengetahuan orang ramai.
Berikut ialah tahap-tahap status pengamal ilmu tasawuf:
  1. Nafsu Lawwamah
  2. NAfsu Mutmainnah
  3. Nafsu Mardiah
  4. Insan Nur Kamil
Tahap tertinggi adalah nafsu yang dipunyai oleh para Nabi, sahabat, imam-imam mazhab dan ulama-ulama yang mursyid. Sekiranya tahap ini boleh dicapai, maka Allah akan mengurniakan keredhaan pada insan terssebut dan kebiasaannya menganugerahkan keramat-keramat yang tidak dimiliki oleh orang lain.
Contohnya, Imam as-Syafie telah dianugerahkan Allah dapat melihat dosa-dosa yang berguguran daripada seseorang yang sedang mengambil wudhu’. Selain itu, beliau juga dapat melihat bagaimana syaitan-syaitan menggoda seseorang daripada melakukan ibadat.
Dajjal Takutkan Golongan Tasawuf
Dajjal sedar golongan ini adalah ahli ibadah, ahli zikir, ahli rohani yang tidak mudah terpdedaya dengan harta dunia. Dajjal tahu golongan ini dikurniakan Allah keistimewaan tertentu yang tiada pada manusia lain hatta ulama Tauhid atau ulama Fekah.
Keistimewaan pengamal Tasawuf ialah mereka dianugerahkan Allah untuk dapat membaca hati seseorang, melihat benda-benda ghaib, keramat, dan sebagainya. Dengan adanya individu-individu seprti ini, sudah pasti sukar untuk Dajjal berselindung disebalik rupa tiruan yang bakal dihasilkannya untuk muncul di tengah-tengah masyarakat.
Maka, sebagai langkah berjaga-jaga dan supaya proses kemunculannya (Dajjal) kelak berjalan lancar, doktrin-doktrin yang menghalang perkembangan ilmu ini perlu dijana terlebih dahulu. Tindakan mengecam pengamalan ilmu ini harus dilakukan dengan teliti dan terancang. Oleh itu, medium yang paling kukuh untuk digunakan ialah sarjana-sarjana agama uma Islam itu sendiri.
Proses Menghalang Amalan Tasawuf oleh Dajjal
Salah satu ibadah wajib bagi pengamal tasawuf ialah mengadakan majlis-majlis zikir seumpama yang diamalkan oleh kebanyakan tarekat.  Ucapan zikir secara berjemaah sebanyaka beratus-ratus ribu sehari mampu mengubah hati dan menjernihkan roh seseorang itu.
Menurut Imam Habib Abdullah Haddad, kumpulan ahli Tarekat Tasawuf lebih suka memilih berzikir dengan mengangkat suara dan berkumpul beramai-ramai. Ini berdasarkan sebuah hadith yang bermaksud;
“Allah SWT sentiasa mengirim para Malaikat-Nya yang mengelilingi bumi untuk mengunjungi majlis-majlis zikir. Maka Allah berkata kepada para MalaikatNya: Saksikanlah bahawa Aku telah mengampuni mereka itu, dan Aku telah memberikan apa yang mereka pohonkan, dan Aku telah melindungi mereka dari apa yang mereka pohon perlindungan….”
Maka cara Dajjal menghalang ibadah ini ialah dengan mengeksploitasi mazhab ciptaan Dajjal iaitu Wahabi. Telah saya terangkan sebelum ini akan keberkaitan Wahabi dan Freemason. Pendokong Wahabi mengharamkan majlis-majlis zikir, doa selepas solat jemaah, talqin dan tahlil. Semua itu dianggap bidaah.
Tiada ungkapan lain yang dipromosi oleh Wahabi melainkan BIDAAH, BIDAAH dan BIDAAH.
Ungkapan ‘bidaah’ di mulut-mulut ulama Wahabi adalah senjata Dajjal melalui bisikan jin-jin pendamping ulama’-ulama’ tersebut. Dajjal tidak duduk bermesyuarat dengan ulama-ulama’ ini. Cara terbaik adalah dengan menggunakan jin pendamping setiap ulama Wahabi tersebut.
(Persoalan jin pendamping atau qarin ini bolehlah dibaca pada buku Muhammad Isa Dawud yang bertajuk “Dialog Dengan Jin Islam”, atau buku-buku karangan Dato’ Ismail Kamus atau buku-buku Syeikh Muhammad Abduh al-Maghauri)
Adakah Proses Ini Berjaya?
Ya. kejayaan Dajjal dalam proses (strategi) ini berjaya lebih kurang 80 %. Umat Islam berjaya diyakinkan bahawa Tasawuf itu sesat dan Tarekat itu adalah ajaran sesat. Tambahan pula kebanyakan umat Islam yang berpandangan demikian langsung tidak pernah mempelajari tasawuf dan tarekat.
Sedangkan kedua-dua aspek tersebut saling melengkapi antara satu sama lain. Saya tidak mahu berbicara panjang apa itu tasawuf dan tarekat kerana ia salah satu cabang ilmu yang wajib dipelajari leh umat Islam khususnya bagi mereka yang belajar di Al-Azhar, Mesir.
Cara Mengenali Dajjal Adalah Dengan Mempelajari Tasawuf
Inilah cara paling berkesan untuk mengenali Dajjal. Seseorang itu boleh dikenali nilai kejahatan sebenarnya jika kita mempunyai ilmu pengesan gerak hati. Ilmu ini hanya terkandung dalam ajaran tasawuf bukannya Tauhid dan Fekah. Jika anda berjaya menghafal al-Quran sekalipun atau boleh mengingati 100,000 hadith, tapi jika tiada ilmu Tasawuf anda belum tentu dikira Muslim yang sempurna.
Bagaimana kita boleh mempelajari Tasaawuf dan Tarekat?
Teramat susah sebenarnya. Namun ilmu itu boleh didapati di mana-mana sahaja sekolah pondok di Malaysia, Selatan Thai atau pesantren-pesantren di Indonesia. Sebelum mempelajarinya, haruslah terlebih dahulu menjumpai tuan guru-tuan guru yang berpengalaman.
Orang yang mempunyai ilmu ini secara automatiknya musuh jelas bagi Dajjal. Saya percaya pengamal-pengamal Tasawuflah yang berfungsi menghebahkan identiti Dajjal ketika ia muncul kelak.
Kesimpulan
Adakah kita sedar sekarang bahawa pengajian agama sudah dipinggirkan oleh umat Islam sekarang. Pengajian sekolah-sekolah agama tulen sekarang banyak yang sudah dimodenkan sehingga tertinggal ilmu-ilmu diniyyah. Yang diutamakan hanyalah ilmu-ilmu akademik. Semua itu berlaku dengan alasan mengikut arus perkembangan zaman.
Seorang sahabat saya yang menjadi Pengetua salah sebuah Sekolah Menengah Agama pernah menyuarakan isi hatinya bahawa beliau kecewa pelajar-pelajar agama sekarang tidak lagi dihidangkan dengan ilmu-ilmu tasawuf. Ini kerana tasawuf tidak mempunyai buku teks, ia berupa amalan zikir. Namun beliau berusaha juga mengajar anak-anak muridnya tentang Tasawuf walaupun tanpa kebenaran pihak Jabatan Agama Islam Negeri.
Wallau’alam.
P/S : Sama ada ilmu Tasawuf atau Tarekat itu sesat atau sebaliknya, ianya tidak perlu didebat dan dipersoalkan lagi. Orang yang mempertikaikan ilmu ini, sah seorang yang tidak pernah mempelajari ilmu agama atau langsung tidak mengetahui apa-apa. Kelompok yang mempertikaikan ilmu ini biasanya terpengaruh dengan berita-berita di akhbar tabloid seperti Kosmo dan Metro yang suka mensensasikan isu ajaran sesat dengan mengaitkannya dengan ajaran Tasawuf. Akibatnya ajaran Tasawuf mendapat reputasi buruk dari kacamata masyarakat.
sumber: ibnu Yaacob

ADVERTISEMENT
SKR

About SKR

Author Description here.. Nulla sagittis convallis. Curabitur consequat. Quisque metus enim, venenatis fermentum, mollis in, porta et, nibh. Duis vulputate elit in elit. Mauris dictum libero id justo.

Subscribe to this Blog via Email :