Berita Terbaru :

Jom Baca!!!

Followers

Ayyuha al-Syabab


"Sudut yang paling merbahaya sekali dalam sesuatu umat yang sedang membangun-terutama di ketika masih dalam peringkat permulaan kebangkitan ialah lahirnya berbagai corak fikrah dan pegangan, pelbagai seruan, bermacam-macam program, pelbagai langkah dan cara yang bersimpang siur di samping lahirnya begitu banyak orang-orang yang berlagak penganjur dan pemimpin.

Semua itu hanya memecah belahkan tenaga serta mencerai beraikan kekuatan yang sedia ada lalu mengendalakan tercapainya segala matlamat yang dituju.

Menyedari hal inilah maka suatu kajian terhadap segala fikrah tadi serta suatu analisa perbandingan di antaranya merupakan suatu persoalan yang asasi yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang benar-benar inginkan reformasi"

-hassan al-banna-

Tuesday, November 12, 2013

Rumusan mahasiswa terhadap Bajet 2014


Dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang terus mapan, berkembang kukuh dan mengurangkan defisit fiskal negara, pada hari Jumaat bertarikh 25 Oktober 2013, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak telah membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2014) dengan bermatlamatkan Memakmurkan Negara dan Mensejahtera Rakyat. Bagi mengekspresikan rangkaan Bajet 2014 yang bertemakan “Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji” dengan menggagaskan lima teras utama iaitu, merancakkan aktiviti ekonomi, mengukuh pengurusan fiskal, mengunggul modal insan, mempergiat pembangunan Bandar dan luar Bandar serta mensejahtera kehidupan rakyat.

Dari sudut prestasi ekonomi pada tahun 2013, dalam tempoh separuh pertama tahun ini, ekonomi negara berkembang sebanyak 4.2 peratus manakala ekonomi dunia berkembang perlahan dengan kadar 2.9 peratus. Malaysia sememangnya tidak terkecuali daripada tempias kelembapan ekonomi global. Seterusnya, peruntukkan bagi Bajet 2014 ialah sebanyak RM264.2 billion yang lazimnya dibahagikan kepada dua bentuk perbelanjaan iaitu RM217.7 billion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM46.5 billion bagi perbelanjaan pembangunan. Daripada peruntukkan tersebut, ia disediakan untuk sektor ekonomi, sektor sosial dan pelbagai lagi perbelanjaan. Kerajaan Persekutuan menjangkakan kutipan hasil sebanyak RM224.1 billion pada tahun 2014 dan memperoleh tambahan sebanyak RM4 billion berbanding tahun 2013.

Seterusnya, dalam teras pertama iaitu merancakkan aktiviti ekonomi, menarik untuk saya ulas mengenai pelaburan awam dan swasta. Dalam bajet ini Kerajaan Persekutuan telah menetapkan sebanyak RM189 billion bagi pelaburan swasta sementara RM106 billion bagi pelaburan awam. Bagi pelaburan swasta, insentif tersebut akan disalurkan ke bidang minyak dan gas, industry tekstil, kelengkapan pengangkutan serta pembangunan hartanah.

Manakala, antara projek yang bakal dilaksanakan bagi pelaburan awam ialah pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat dari Banting ke Taiping, pembinaan landasan keretapi berkembar Ipoh ke Padang Besar dan kemudiannya dari Gemas ke Johor Bahru. Menurut bajet yang dibentangkan tempoh hari, jarak Lebuh Raya Pantai Barat ialah sepanjang 316 kilometer. Dalam perihal ini saya ingin membangkitkan persoalan mengenai apakah tindakan kerajaan dalam membantu untuk memudahkan perhubungan antara penduduk yang berada di Pantai Timur dan Pantai Barat khususnya bagi negeri yang seringkali berhadapan dengan kesesakkan lalu lintas dan struktur jalan yang kurang baik.

Jika sebelum ini kerajaan Negeri Kelantan telah melaksanakan projek Lebuh Raya Rakyat yang menghubungkan antara Kota Bharu dan Kuala Krai, tetapi proses perlaksanaannya masih kurang efektif bahkan di dalam bajet 2014, tiada peruntukkan diberikan oleh Kerajaan Persekutuan. Pada pandangan sisi, saya mengharapkan agar pihak kerajaan daripada mana-mana blok parti politik dapat berkhidmat dan membantu rakyat merentasi jurang perbezaan politik dan bertindak secara profesional.

Bagi teras kedua pula ialah mengukuh pengurusan fiskal dan semestinya umum ketahui bahawa dalam teras ini terkandungnya perlaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang kini menjadi topik hangat diskusi bagi ahli-ahli akademik dan pakar-pakar ekonomi serta turut juga menjadi bahan kempen bagi sesetengah ahli politik. Walaupun tarikh perlaksanaannya bermula pada 1 April 2015 tetapi perlaksanaannya dan perancangannya mendapat kritikan dan ulasan daripada banyak pihak.

Pelaksanaan GST akan memberikan implikasi terhadap golongan pertengahan ke bawah dan menambah beban rakyat berpendapatan rendah, khususnya dalam soal kenaikkan harga barang. Namun, pelaksanaan GST ini tidak semestinya akan membebankan golongan pertengahan ke bawah, kerana pelaksanaan cukai ini adalah penggantian cukai yang sedia ada dan mungkin dapat menstabilkan harga barang bahkan ada sesetengah harga barang akan turun.

Pengerusi Panel Penilaian Cukai Kementerian Kewangan, Datuk Kamariah Hussain berkata, antaranya rakyat hanya perlu membayar GST empat peratus ketika menjamu selera di restoran makanan segera berbanding cukai perkhidmatan lebih tinggi dikenakan sekarang.“Kos perniagaan lain juga berkurangan selepas GST menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kerana restoran berkenaan tidak lagi perlu membayar cukai jualan atas pembelian meja, kerusi dan kemudahan lain.“Dengan pelaksanaan GST, peniaga boleh menawarkan harga yang lebih murah hasil penjimatan daripada pembayaran cukai,” katanya.

Memang tidak boleh dinafikan bahawa pelaksanaan GST juga akan menaikkan harga sebahagian barang dan pastinya membawa impak kepada golongan bawahan sama ada positif ataupun negatif.
Selain dapat mengenalpasti pengelak cukai dan menyumbang kepada pengutipan cukai dan duti yang lebih cekap di masa depan. Pendapat saya, jika pelaksanaan GST ini lebih menguntungkan rakyat dan dapat menambah hasil mahsul kerajaan sememangnya pelaksanaan ini perlu diteruskan tetapi kerajaan perlulah meyakinkan rakyat terlebih dahulu jika pelaksanaan GST mampu memberi kebaikan. Dalam pada itu juga, penetapan gaji minimum juga sangat penting bagi menguatkan keyakinan rakyat terhadap perlaksanaan cukai baru ini serta dalam pada itu juga pihak kerajaan secara serius perlulah menghapuskan segala gejala-gejala negative dan ketirisan dalam sektor awam.

Selain itu, teras ketiga dan teras keempat pula ialah mengunggul modal insan dan mempergiat pembangunan Bandar dan luar Bandar. Saya lebih ingin fokuskan pada teras yang ketiga iaitu mengunggul modal insan, yang mana elemen-elemen yang diletakkan antaranya ialah meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan latihan, bantuan persekolahan dan baucar buku, pendidikan tertiari dan memperkukuh latihan kemahiran. Pada elemen kecemerlangan pendidikan dan latihan, Kerajaan Persekutuan akan melancarkan Tabung Khas Pembinaan Penambahbaikan & Penyelenggaraan Sekolah. Berdasarkan bajet yang dibentangkan beberapa minggu lepas, peruntukkan bagi tabung khas ini adalah sebanyak RM450 juta dan agihan peruntukkan masih samar. Adalah lebih baik Kerajaan Persekutuan dapat memberikan agihan peruntukkan khas kepada sekolah dan institusi pendidikan di Sabah dan Sarawak agar saluran peruntukkan lebih terfokus seterusnya kebajikan rakyat lebih tertumpu.

Dan seterusnya, teras yang terakhir bagi Bajet kali ini ialah Mensejahtera Kehidupan Rakyat. Elemen-elemen yang diketengahkan dalam teras ini antaranya ialah pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan sumber, pembangunan wanita dan keluarga, kesihatan, keistimewaan bumiputra, kebajikan golongan OKU, bantuan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, pembangunan sukan dan lain-lain lagi.Bantuan Rakyat 1 Malaysia juga terkandung dalam teras yang kelima ini, yang mana pemberian ini akan dipertingkatkan dan diperluaskan. Namun begitu, adakah pemberian ini lebih efektif dan mampu mengubah kelas kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik berbanding daripada penambahan pemberian subsidi daripada kerajaan.

Akhir Kalam, sebagai mahasiswa yang prihatin dan cakna terhadap isu semasa, bagi saya tidak salah untuk saya memberikan sedikit lontaran kata dan kritikan terhadap bajet yang dibentangkan tempohari. Menjadi harapan buat saya agar bajet kali ini dapat direalisasikan dengan sepenuhnya dan berjaya mengubah tahap ekonomi Malaysia kearah yang lebih baik, terkehadapan serta yang paling penting dapat menjaga kebajikan rakyat Malaysia yang dicintai.


Muhammad Muzakkir ialah Setiusaha Agung Ikatan Studi Islam UKM.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Pakatan Rakyat 2

Popular Posts

Mutiara Kata

"...... makanan semanis dan selazat ini bukan dibuat daripada wang ayah dan ibumu. Kenyangkan perut rakyatmu dengan makanan ini sebelum engkau mengenyangkan perutmu"

Khalifah Umar bin Khatab

Alexa Internet

There was an error in this gadget

Blog Archive