Menurut Nik Aziz (gambar), istilah jihad itu berasal daripada al-Quran dan hanya sesuai digunakan untuk tujuan menegakkan Islam. Justeru, beliau mempersoal jihad yang dimaksudkan Umno sedangkan parti itu terpalit dengan salah guna kuasa dan rasuah.
“Jihad ini istilah al-Quran. Kerana apa mereka curi perkataan jihad dan tafsir mengikut kefahaman sendiri?
“Mereka
sifatkan jihad untuk mempertahankan orang Melayu. Islam bukan untuk
orang Melayu, bukan untuk Arab, bukan untuk Cina tapi untuk manusia,”
katanya dipetik Harakahdaily.
Ketika
berucap merasmikan secara serentak Persidangan Tahunan Puteri, Pemuda
dan Wanita Umno minggu lalu, Timbalan Presidennya Tan Sri Muhyiddin
Yassin menggesa ahli-ahli Umno berjihad untuk mempertahankan kuasa
orang Melayu dengan mengekalkan kemenangan dalam pilihan raya umum
ke-13 yang menurunya merupakan “ibu segala pilihan raya.”
Susulan
tsunami politik tiga tahun lalu, Muhyididn menegaskan, pilihan raya
umum ke-13 akan menentukan jatuh bangun umat Melayu dan kelangsungan
mereka.
“Sesungguhnya, kita sedang
berada dalam satu situasi yang amat kritikal. Pilihan raya umum ke-13
adalah ibu segala pilihan raya yang akan menentukan jatuh bangun umat
Melayu. Apakah kuasa politik kekal berada di tangan kita? Atau akan
terlepas ke tangan orang lain?” kata beliau.
Malah
dalam ucapannya, sambil menyifatkan PAS berhadapan dengan pilihan raya
“setiap hari”, Nik Aziz ibaratkan Umno sebagai bas ekspres yang
singgah di tengah jalan untuk makan buah-buahan tetapi tidak sampai ke
destinasi disasarkan.
“Umno atau
golongan sekular kalau kita andaikan, seperti bas ekspres dari Kota
Bharu ke Kuala Lumpur. Tapi berhenti di Gua Musang, terliur tengok
buah-buahan banyak, maka berhenti di situ sahaja, tak sampai ke Kuala
Lumpur,” kata beliau menyampaikan ucaptama pada Ijtimak Tarbawi Pilihan
Raya di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad dekat sini, hari ini.
“Samalah
dengan Umno, nak ke syurga tapi tersekat separuh jalan kerana
terpedaya dengan segala pembangunan dan kekayaan di dunia,” kata beliau
yang juga Menteri Besar Kelantan. Sehubungan
itu, Nik Aziz mengingatkan ahli agar memanfaatkan sistem pilihan raya
yang ada untuk memenangkan PAS agar dapat berjihad menegakkan Islam.
Ini
kerana menurut Nik Aziz, tanpa kuasa amat sukar untuk PAS membanteras
segala kemungkaran di muka bumi, khususnya yang dilakukan orang Islam
sendiri. “Tanpa kuasa, kita boleh
menyatakan haramnya judi, arak, hiburan melampau batas dan sebagainya,
namun ia hanya akan terbatas di mimbar masjid dan helaian kitab sahaja
tanpa ditegakkan dalan sistem pemerintahan,” katanya lagi.
Nik
Aziz juga berkata perjuangan PAS bukan semata-mata menentang Umno BN,
tetapi yang lebih utama menentang ajaran sekular yang didukung parti
itu. Katanya, akibat memperjuangkan
sekular, orang Umno tidak diingatkan mengenai kewajipan melawan hawa
nafsu dan menolak pujuk rayu syaitan.
“Perjuangan PAS bukan perjuangan menentang Umno semata-mata tapi yang lebih besar mengajar manusia mengikat hawa nafsu.
“Pilihan raya bukan hanya lima tahun sekali, tapi orang Islam melakukan pilihan raya setiap hari, sepanjang masa.
“Umno tidak pernah didengarkan oleh pemimpin mereka untuk menjauhkan diri dari syaitan,” kata beliau lagi.
themalaysianinsider/-