“Dan
sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan
Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang
banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya
dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati
(dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala
hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Nisa’ ayat 100)
hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Nisa’ ayat 100)
Alhamdulillah,
setinggi-tinggi pujian dan kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah
SWT kerana taufik dan inayahNya, kita masih diberikan peluang untuk
terus hidup melangkah ke tahun baru 1433 Hijrah pada saat ini. Semoga
dengan pertambahan umur yang dikurniakan oleh Allah SWT ini memberikan
kita ruang untuk terus menambahkan ibadat dan memperkasakan perjuangan
untuk menegakkan kalimah Allah SWT.
Hakikatnya,
Hijrah Rasulullah s.a.w tidak berlaku pada awal tahun dan tidak
berlaku pada bulan Muharram. Sebaliknya, Rasulullah s.a.w mula keluar
dari kota Mekkah pada akhir bulan Safar, bulan yang kedua dalam
kalendar Islam.
Baginda
keluar dari Mekkah bersama-sama dengan sahabat baginda yang paling
setia Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a setelah mendapat perintah dari
Allah s.w.t agar bersama-sama dengan umat Islam di kota Madinah.
Rasulullah s.a.w tiba di kota Madinah dan mula menetap di sana pada
hari Jumaat, 12 Rabiul Awal.
Sekalipun hijrah tidak berlaku di bulan
Muharram, namun detik peristiwa tersebut ia dipilih sebagai tahun yang
pertama dalam kalendar Islam sewaktu proses penetapan calendar Islam
pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab RA.
Kenapakah
Saidina Umar bin Al-Khattab dan para sahabat pada masa itu tidak
memilih peristiwa lain seperti peristiwa kelahiran Rasulullah SAW,
peristiwa pembukaan Kota Makkah atau Haji Wada’? Jawabnya ialah kerana
peristiwa hijrah itulah yang mencetuskan fenomena dan momentum terbesar
di dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW. Momentum tersebut ialah
pembentukan sebuah negara Islam yang pertama dan perpindahan era dakwah
secara rahsia kepada era dakwah secara bernegara.
Pembentukan
negara itulah yang menjadi matlamat kepada penghijrahan Rasulullah SAW
ke Madinah. Jika tidak kerana membentuk negara, tidak perlu lagi
berlakunya hijrah Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, amatlah salah
sama sekali tanggapan yang menyatakan bahawa bernegara merupakan satu
perkara yang tidak wujud di dalam Islam, apatah lagi menidakkan
kewujudan syariat Islam dalam aspek bernegara.
Sebagaimana
umat Islam diwajibkan untuk mengerjakan solat lima kali sehari,
berpuasa selama sebulan dalam satu tahun dan mengerjakan haji sekali
sepanjang hidup, demikianlah juga diperintahkan agar bernegara dan
melaksanakan undang-undang menurut syariat yang telah ditetapkan oleh
Allah SWT.
Kita
tidak rela jika pembangunan fizikal pesat berlaku namun dalam masa
yang sama kita menyaksikan runtuhnya nilai-nilai agama dan jauhnya
manusia daripada Allah SWT. Alangkah ruginya hidup manusia jika hanya
mendapat kemegahan, kemewahan dan kekayaan di dunia semata-mata namun
di akhirat dilemparkan Allah SWT ke tempat yang buruk iaitu neraka
hanya kerana enggan tunduk patuh kepada Allah SWT.
Justeru,
PAS mendidik rakyat agar kenal batasan iman dan kufur, batasan syurga
dan neraka serta batasan pahala dan dosa, agar tidak berlaku penolakan
terhadap mana-mana perintah Allah SWT. Ini kerana iman sifatnya ialah
syumul. Menolak satu cabang iman bererti menolak keseluruhan iman itu
sendiri.
Dari
aspek yang lain, hijrah juga mengajar umat Islam agar berstrategi
dalam apa jua langkah dan gerak kerja. Bagaimana kita melihat
Rasulullah SAW mengatur strategi yang cukup teratur di dalam berhijrah,
demikianlah juga wajib untuk kita mengatur strategi dan mempunyai
perancangan yang tersusun di dalam memastikan gerak kerja yang
dilakukan berkesan dan berjaya.
Strategi
Rasulullah SAW dapat dilihat apabila baginda datang ke rumah Saidina
Abu Bakr as-Siddiq pada waktu siang hari iaitu waktu yang tidak akan
dijangka dipilih untuk keluar dari Mekah. Baginda juga mengupah
Abdullah bin Uraiqit yang masih musyrik menunjukkan jalan dan ini
mengajar bagaimana harusnya bekerjasama dengan non-muslim dalam urusan
yang boleh mendatangkan faedah kepada Islam. Baginda juga memilih untuk
berlindung di dalam Gua Thur yang bukannya terletak di pertengahan
jalan menuju ke Madinah dengan tujuan untuk mengelirukan kaum
musyrikin.
Nyata
sekali semua strategi yang diatur oleh baginda Rasulullah SAW ini
berjaya mengeluarkan baginda dari kota Makkah dan menuju ke Madinah
dengan selamat. Justeru, apabila kita menyambut peristiwa Hijratur
Rasul pada hari ini, kita sebenarnya menyambut peristiwa fatonah atau
kecerdikan baginda.
Pada
zaman kita hari ini, pengurusan hidup hendaklah bersendikan fatonah
yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Fatonah ini pula hendaklah
disertakan dengan amanah. Fatonah tanpa amanah akan melahirkan generasi
yang punah iaitu generasi yang cerdik tetapi jauh dari Allah SWT. Hari
ini, kita melihat setiap hari didedahkan pelbagai skandal dalam
pengurusan wang samada di peringkat pemimpin maupun di peringkat
pegawai. Laporan demi laporan audit yang dibentangkan menyaksikan
pelbagai ketirisan yang berlaku sehingga mengakibatkan kerugian puluhan
juta ringgit wang rakyat.
Ketirisan
ini jika diselamatkan nyata sekali dapat memberikan manfaat yang lebih
besar kepada rakyat jelata. Kenapakah perkara ini boleh berlaku
sedangkan kita mempunyai pelbagai undang-undang pencegahan rasuah dan
penyelewengan?
Tidak
lain melainkan hanyalah kerana manusia tidak mampu dikawal oleh
undang-undang manusia. Yang mampu memagari manusia dari melakukan
perbuatan khianat hanyalah taqwanya kepada Allah SWT. Inilah misi PAS
di dalam gerak kerja politik. Kita berjuang melalui pilihanraya untuk
mendapatkan kuasa dan untuk membangunkan roh dan jiwa rakyat agar
sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT.
Di
Kelantan, kita menguatkuasakan larangan pembukaan premis judi,
larangan penjualan arak secara terbuka, memindahkan wang kerajaan ke
perbankan Islam serta memperbanyakkan skim-skim kebajikan seperti
takaful kifalah, skim armalah, skim al-it’am dan sebagainya semuanya
bertujuan untuk memberikan kebaikan kepada rakyat dari sudut duniawi
dan ukhrawi.
Hijrah
juga mengajar kita menjadi optimis dalam perjuangan. Lihatlah
bagaimana Rasulullah SAW menjanjikan kepada Suraqah bin Malik untuk
dipakaikan dengan alat kebesaran raja Parsi sedangkan baginda sedang di
dalam perjalanan menuju ke Madinah. Janji tersebut nyata sekali
menjadi kenyataan selepas kewafatan baginda iaitu pada saat kejatuhan
kerajaan Parsi pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin al-Khattab RA.
Oleh
yang demikian, pada saat dunia kelam pekat diselubungi gelap sekular,
yakinlah, jahiliyyah pasti akan tumbang, dan Islam pasti akan tertegak
juga di bumi Allah SWT ini. Insya-Allah,
fajar semakin menyinsing. Malam pasti berakhir. Kebangkitan yang
berlaku di seluruh dunia lambat laun akan tiba juga di negara kita yang
tercinta. Semoga keamanan terus dikekalkan dan semoga Islam dapat
didaulatkan. Selamat berhijrah dan selamat berubah.
Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,Al-Mursyidul Am
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)