PETALING JAYA: Penyanyi lagu Tolong Ingatkan Aku, Ana
Raffali tidak mahu menghiraukan cakap-cakap orang yang cuba
mempersendakan penampilannya selepas tampil dengan imej bertudung.
Ana, 27, berkata, niatnya untuk melakukan perubahan dalam hidup
dengan bertudung bukan untuk berfesyen tetapi melunaskan apa yang
wajib untuknya sebagai seorang wanita Muslim.
"Segelintir pihak yang mempertikaikan gaya saya bertudung adalah
berfikiran cetek dan berharap mereka hentikan kata-kata buruk terhadap
orang lain.
"Bagaimanapun terpulang kepada mereka yang melihat kerana saya bertudung bukan untuk berfesyen tetapi berbalik kepada asas saya sebagai wanita Islam," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis.
Ana diminta mengulas mengenai komen sesetengah pihak menerusi
Internet yang mengatakan penyanyi itu gagal tampil menarik apabila
memakai tudung.
Tambahnya, dia berasa selesa dengan imejnya kini dan apa yang
dilakukannya adalah atas kesedaran sendiri dan bukannya paksaan sesiapa.
Ana mula bertudung pada sambutan Maulidur Rasul yang lalu dan
memberitahu keputusan untuk berbuat demikian datang dengan sendiri pada
hari tersebut.
Bersedia ke alam perkahwinan
Dalam perkembangan lain, Ana bakal melangsungkan perkahwinan dengan
Ahmad Aznaim Abdullah atau Naim, 30, pada Sabtu ini memberitahu dia
telah bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan.
Ana berkata, dia tidak perlu berasa debar atau takut kerana
perkahwinan itu sendiri adalah sesuatu yang dituntut dalam agama dan
berharap akan menemui kebahagiaan sehingga ke akhir hayat.
"Sejujurnya saya langsung tidak rasa takut atau berdebar untuk
bergelar isteri kepada Naim kerana perkahwinan bukanlah sesuatu yang
menakutkan. Insya-Allah semuanya akan berjalan dengan lancar pada majlis
itu nanti," ujarnya.
Dalam pada itu, Ana berkata, persiapan untuk majlis itu telah hampir
siap berkat daripada pertolongan daripada ahli keluarga dan rakan
terdekat.
Acara pada Sabtu ini akan dimulakan dengan majlis pertunangan
terlebih dahulu sekitar pukul 10.30 pagi dan upacara akad nikah sejam
kemudian.
Kedua-dua pasangan itu akan dinikahkan sendiri oleh bapa Ana iaitu Mohd Raffali Mohd Nor.-Mstar-
P/S: Semoga
Anarafali diberikan kekuatan untuk terus istiqamah untuk melaksanakan
perintah Allah dan menjadi role model yang baik kepada peminatnya..