Semenjak
empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang
kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara
penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut
kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.
Perlakuan
dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu
banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara,
iaitu :-
1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.
Terdapat
beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung,
pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah
terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri
juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat
komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka. Sebagai contoh, ada yang
secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk,
perabot, pakaian dan sebegainya melalui status mereka. Tertekanlah
suami serba salah.
Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di
dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan
meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban
yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk
menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau
untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan
di dalam diri.
Namun,
tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang
diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh
sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara
terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan
sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan
olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini
punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini
boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan.
Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti
Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor
Rumahtangga.
Pendedahan
masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK
DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia
dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.
Terdapat
sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi
selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara tersirat
bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga
yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya,
bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua,
rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.
Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook
anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar
kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.
2) Terlebih gambar
Ramai
di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah
menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian
terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan
gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat (
sehingga memenuhi kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang
diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.
Agak
pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami
mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian
kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih
merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.
Lebih
pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam
sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu
(seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di
ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.
Berterusan
bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita ada juga
yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat
dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih
bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia
termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri
zina'.
Saya
bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri
terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna)
ditayang sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sini .
3) Penyamaran
Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita.
Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada
gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses,
terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar
mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di
internet, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini
berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.
Si
wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah
menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang
yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.
4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.
Dimaklumkan
juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah'
difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar
tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah,
mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut
pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu
sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.
Malangnya,
golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk
mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah
gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami.
Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak
perlulah tamakkan pujian manusia luar.
Tunggu
sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau
tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan
sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud
gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan
isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.
5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.
Tagging
atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah
untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada
kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak
juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain
seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi
tulisan mereka.
Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semua friend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya.
Ini boleh menjadi dosa, kerana :-
a- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.
b- Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid',
tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal
aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang
di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau
gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu
paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan
berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar
mereka boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.
c- Gambar
mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup
aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan
individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus.
Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini
merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata
masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama
baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung
di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda
mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan
perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.
6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan
Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam
bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk
ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik
dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan
warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna
dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin
bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.
Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi
sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh,
kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara
langsung atau tidak langsung. Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem',
‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.
Tanpa
disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata
zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?,
kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk
pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu
istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai
mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi
baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.
KESIMPULAN
Itulah
facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul,
boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi.
Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.
Niat
untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya
tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di
antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan
mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan
rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat
dosa.
Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
3 Mei 2010
ps: Petikan ini dipetik daripada website zaharuddin.net
mr-tazkirah