ISLAM telah membuka mata anak muda kelahiran Brooklyn, New York, Amerika
Syarikat ini yang suatu masa dahulu terlibat dengan penjualan dadah di
jalanan sebelum beralih ke dunia hiburan hip hop.
Dua
mimpi yang menjadi igauan sepanjang hidup bergelumang dengan dosa itu
akui Jason Perez ialah dia pasti akan meringkuk dalam penjara ketika
usianya mencecah 21 tahun.
Manakala mimpi keduanya pula ialah
walau bagaimanapun dia cuba mengelak semua itu daripada berlaku, dia
tetap akan berkesudahan dengan kematian.
Rupa-rupanya, kedua-dua
mimpi ngeri Jason itu ternyata benar. Uniknya, Jason kini bernafas
semula dengan nama Islamnya, Jason Hamza Perez.
"Saya tidak tahu
tentang nafsu. Islam menyedarkan saya bahawa di jalanan anda selalu
mencari musuh. Namun, dalam Islam ia mengajar saya bahawa dalam rangka
untuk menemukan musuh saya, saya harus melihat diri di cermin terlebih
dahulu. Hakikatnya, musuh saya adalah diri saya sendiri iaitu nafsu
saya," akui Hamza.
Tayangan dokumentari bertajuk, The New Muslim
Cool yang pernah menjadi isu hangat rakyat Amerika Syarikat suatu
ketika dahulu, sedikit sebanyak mengandungi pengalaman hijrah akidah
dan kerohanian Hamza sebaik bergelar Muslim. Dokumentari itu turut
menyelitkan pandangannya yang berketurunan Puerto Rico tentang agama.
Kini, Hamza telah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia muzik dan hip hop yang suatu masa dahulu digilainya.
Menurut
Hamza, dia mengambil keputusan muktamad itu dengan alasan memberikan
lebih tumpuan kepada keluarga, membantu mengukuhkan fungsi masjid dan
melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan secara profesional.
Malah
isteri Hamza, Jennifer Maytorena Taylor merupakan generasi keempat
Muslim keturunan Afrika di Amerika Syarikat, yang juga pengarah dan
penerbit dokumentari, The New Muslim Cool.
Hamza membentuk sebuah
komuniti yang terdiri daripada orang keturunan Latin dan
Afrika-Amerika yang mana akhirnya ia berpindah dari Massachusetts ke
Pittsburgh.
Dia menjadi begitu aktif dengan anggota komuniti
tersebut sehingga sanggup bekerja keras demi membantu insan-insan yang
terlibat dengan penagihan dadah keluar daripada kehidupan di jalanan.
Akhirnya,
dia berakhir di penjara sebagaimana yang sering dimimpikan sebelum
ini. Ironinya bukan sebagai rakan satu sel tetapi sebenarnya Hamza
menjadi guru agama atau pendakwah di Penjara Allegheny County.
Berkongsi
cerita bagaimana dia boleh bertukar menjadi seorang Muslim akui Hamza,
dia mempunyai seorang teman bernama Louie Ekuador. Mereka membesar
bersama dan kemudian sama-sama juga terlibat dalam penjualan dadah.
"Saya
mencari kebahagiaan sebagai orang muda, tetapi saya tidak pernah
menemuinya. Saya mencuba kehidupan jalanan dan dadah, tapi itu hanya
membuat saya menjadi lebih tertekan.
"Biarpun kami berjaya
mengumpulkan wang yang banyak, sayangnya ia tidak memberi apa-apa
kepuasan, jauh sekali kebahagiaan. Suatu hari, sedang kami duduk
melepak, kami didatangi oleh seorang Muslim. Dia mula bercerita tentang
Islam. Akhirnya kawan saya itu menjadi Muslim," ceritanya.
Kebetulan
pula, rumah kediaman Hamza berhadapan dengan sebuah masjid. Cuma dia
tidak pernah tahu tentang Islam dan ajarannya. Satu-satunya perkara yang
dia tahu mengenai Islam ialah mereka membunuh kambing.
"Jadi,
dalam masyarakat, masjid mereka lebih dikenali sebagai tempat di mana
kambing dibunuh. Memang benar, saya rapat dengan bangunan itu tetapi
tidak benar-benar tahu tentang apa yang terjadi di dalamnya. Kawan saya,
Louise akhirnya memeluk Islam dan menghilang diri selama 40 hari.
Khabarnya, dia pergi dengan Jemaah Tabligh menyebarkan Islam.
"Namanya
pun sudah berubah menjadi Luqman. Suatu hari Luqman datang berpakaian
serba putih dengan seorang syeikh bernama Iqbal. Pada masa itu saya dan
beberapa teman jalanan sedang bermain dadu, minum, dan merokok. Saya
terpegun melihat Louise, wajahnya kelihatan bercahaya. Saya boleh
melihat perubahan dalam dirinya.
"Jadi, saya terus meninggalkan
yang lain. Saat itu, syeikh ada bertanyakan sama ada saya percaya akan
Allah yang Esa dan Nabi Muhammad. Saya tahu tentang Allah tetapi tidak
tentang Muhammad. Melihat perubahan pada Louise, tanpa ragu-ragu dan
teragak-agak, saya minta diajar mengucapkan dua kalimah syahadah, di
tepi jalan itu juga. Adik saya yang menyaksikan insiden itu juga, ikut
bersyahadah," katanya.
Terang Hamza lagi, berita pengislaman itu
diterima sedih oleh keluarganya. Pun begitu, apabila mendapati dengan
cara itu dia adik beradik bebas daripada dadah dan kegiatan berbahaya,
ibu bapa mereka merestuinya.
"Ibu saya sangat menyokong kerana
saya berubah menjadi seorang anak yang memberatkan ibu, membantu dalam
urusan keluarga dan melakukan apa sahaja yang dimintanya.
"Dulu
sebelum menjadi Muslim, saya tidak pernah ambil kisah tentang ibu.
Perubahan dalam diri saya turut menarik kakak saya untuk bergelar
Muslim. Kemudian, salah seorang rakan saya ikut jejak. Akhirnya, lebih
daripada 55 orang kenalan saya memeluk Islam," jelasnya.
Langkah
seterusnya yang diusahakan Hamza ialah kembali ke tempat di mana mereka
menjual dadah dan memasang papan tanda bertanda Heroin membunuh kamu
dan Allah menyelamatkan anda!
Hasilnya, ramai daripada mereka terpengaruh.
Ditanya
masalah yang dihadapi sebagai Muslim jelas Hamza pada peringkat
awalnya, dia bagai hilang arah kerana beranggapan terpaksa menurut apa
yang diperkatakan oleh Muslim lain.
"Saya jadi keliru apabila ada
beberapa orang Muslim, mengajar saya untuk melihat Muslim lain dan
mengkritik umat Islam lain. Antaranya dalam aspek penampilan seperti
Muslim yang berjanggut panjang dan 'pakaian aneh' mereka.
"Sampai
satu peringkat, perbuatan mengkritik orang menjadi lebih kerap
sementara mengingat Allah menjadi sedikit. Saya mulai rasa kehilangan
nikmat kemanisan yang dialami ketika pertama kali menjadi Muslim. Namun,
saya lakukan transformasi besar bersandarkan pernyataan, hanya melihat
kesalahan diri, bukan kesalahan orang," katanya.
sumber
Andai Anak Anda Sendiri Melakukan Protes di Kampus USA dan UK
-
Jika anak anda belajar di universiti di Amerika Syarikat ataupun di United
Kingdom ataupun mungkin di negara-negara lain dan anak anda terlibat dengan
prot...
5 months ago