Saya
mendapat khabar bahawa pernah pada suatu musim haji, terdapat program
soal-jawab yang disiarkan secara langsung di tanah suci melalui siaran
radio. Siaran tersebut didengari oleh jutaan jemaah haji yang hadir.
Kesemua soal-jawab telah dijawab oleh seorang Tuan Sheikh yang `alim dan
sangat dihormati akan ilmunya. Program tersebut adalah khusus bagi
menjawab soalan-soalan orang ramai sekitar tajuk ibadah haji dan
lain-lain yang berkaitannya.
Tiba-tiba
ada satu panggilan dari seorang wanita yang ingin bertanya tentang
mimpi dan apa tafsiran Tuan Sheikh tersebut. Walaupun pada asalnya Tuan
Sheikh agak keberatan untuk menjawab disebabkan ianya terkeluar dari
tajuk yang dibincangkan iaitu haji, namun beliau tidak mahu mengecewakan
wanita tersebut lalu dibenarkannya untuk bertanya.
“Saya
pernah bermimpi terlihat seorang lelaki yang mengerjakan ibadah tawaf
mengelilingi Ka`bah pada musim haji dalam keadaan beliau tidak
berpakaian sedikit pun iaitu dalam keadaan telanjang. Bolehkah Tuan
Sheikh menafsirkan mimpi saya tersebut?” Wanita tersebut bertanya kepada
Tuan Sheikh melalui panggilan telefon yang didengari oleh jutaan jemaah
haji lain melalui radio secara langsung.
Agaknya
apakah jawapan tuan puan apabila ditanya oleh seseorang dengan soalan
yang sama? Dan apa pula jawapan oleh para ustadz yang kita kenali jika
ditujukan soalan yang sama untuk mereka tafsirkan mimpi tersebut?
Lihatlah bagaimana reaksi Tuan Sheikh ini dan amatilah jawapan yang diberikan beliau dengan kehikmahan yang ada pada beliau:
“WAllahu
A`lam. Saya akan cuba menjawab soalan puan berdasarkan sedikit
pengetahuan yang saya ada.” Tuan Sheikh memulakan jawapan beliau dengan
memuji ALLAH yang Maha Mengetahui segala sesuatu.
“Pada
tafsiran saya terhadap mimpi puan yang melihat seorang lelaki yang
melakukan ibadah tawaf secara bertelanjang itu ialah bahawa lelaki
tersebut telah kembali dalam keadaan beliau tidak berdosa selepas
mengerjakan haji. Lelaki tersebut telah memiliki keampunan ALLAH dan
semua dosanya telah diampuni seperti seorang bayi yang baru sahaja
dilahirkan (dalam keadaan telanjang). Ini sesuai dengan hadith Nabi
sallAllahu `alaihi wasallam yang menyebut bahawa seseorang yang diterima
hajinya itu kembali bersih tanpa dosa seperti dia baru sahaja
dilahirkan oleh ibunya…” Jawab Tuan Sheikh tersebut.
“Beruntunglah lelaki tersebut kerana beliau telah dikurniakan dengan haji yang mabrur.” Sambung Tuan Sheikh lagi.
“Oh
begitu. Terima kasih kerana sudi menjawabnya. Bolehkah saya memaklumkan
kepada lelaki tersebut tentang berita ini?” Tanya wanita itu melalui
telefon.
“Ya,
boleh. Puan kenalkah dengan lelaki tersebut?” sambut Tuan Sheikh lalu
diajukan soalan samada wanita itu kenal atau tidak dengan lelaki di
dalam mimpi beliau.
“Ya, saya kenal beliau.” Jawab wanita tersebut dengan ringkas.
“Jika
puan kenal dengan lelaki tersebut, puan ucapkanlah tahniah buat beliau
kerana ALLAH telah menerima haji beliau.” Saran Tuan Sheikh agar wanita
tersebut mengucapkan tahniah kepada lelaki yang bertuah itu.
“Sebenarnya
lelaki yang saya lihat di dalam mimpi saya itu ialah Tuan Sheikh
sendiri!!!” Wanita itu memberitahu siapa lelaki tersebut melalui
panggilan telefon yang disiarkan secara langsung melalui radio.
Jawapan
yang diberikan oleh wanita tersebut sangat-sangat memeranjatkan Tuan
Sheikh itu setelah mendengarnya. Tuan Sheikh tidak dapat menahan
perasaan lalu menangis teresak-esak lantaran syukur dan insaf. Program
radio yang dilakukan secara langsung itu terpaksa dihentikan. Pengendali
radio tersebut memaklumkan bahawa program soal-jawab itu tidak dapat
diteruskan dan akan disambung pada hari yang lain.
Download poster Haji ini!
Kisah
di atas telah disampaikan di dalam satu ceramah yang telah diadakan di
Masjid Asy-Syarif, Meru, Klang oleh Ustadz Syed Nurhisham sekitar tajuk
haji pada 2 Dzulka`idah 1432H bersamaan 30 Sepmtember 2011. Beliau tidak
menyebutkan siapakah gerangannya nama Tuan Sheikh yang dimaksudkan.
SubhanAllah!
Betapa hikmah dan luar biasa sekali jawapan Tuan Sheikh tersebut.
Beliau nampak apa yang saya dan orang lain tidak nampak. Jawapan beliau
sangat-sangat di luar jangkaan. Beliau memberikan tafsiran yang bukan
calang-calang tafsiran. Dan tafsiran beliau dijawab berdasarkan
pemahaman beliau terhadap nas dari al-Hadith. Malah kebaikan dari ilmu
tafsiran beliau dikembalikan kepada beliau oleh ALLAH `Azza wa Jalla
dalam bentuk kemuliaan!
Saya
tidak dapat menahan emosi saya selepas mendengar kisah ini. Sangat
sebak rasanya. Betapa beruntungnya Tuan Sheikh tersebut. Beliau telah
diberikan kemuliaan oleh ALLAH `Azza wa Jalla di hadapan jutaan manusia
sejak di dunia lagi. Khabar gembira seperti ini jarang didapati oleh
mana-mana manusia melainkan sangat sedikit.
Saya
telah menyemak hadith yang dimaksudkan oleh Tuan Sheikh tersebut, iaitu
bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:
“Barangsiapa
yang mengerjakan ibadah haji dan dia tidak melakukan jima’ dan tidak
pula melakukan perbuatan dosa, dia akan kembali dari dosa-dosanya
seperti pada hari ketika ia dilahirkan oleh ibunya.” (HR. Al-Bukhari, Muslim, An-Nasa’i, Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
Dan
apabila melihat balasan yang disediakan oleh ALLAH Subhanahu wa Ta`ala
terhadap hamba-hambaNYA yang memperolehi haji mabrur, diri ini
tersangatlah rasa penuh harap dan memohon agar dikurniakan dengan haji
yang mabrur juga. Nabi sallAllahu `alaihi wasallam menyebut tentang
balasan kepada orang yang memperolehi haji yang mabrur, yang maksudnya:
“Umrah
(yang pertama) kepada umrah yang berikutnya sebagai kaffarat
(peng-hapus) bagi (dosa) yang dilakukan di antara keduanya, dan haji
yang mabrur tidak ada balasan baginya, melainkan Syurga.” (HR. Malik, Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi, An-Nasa’i dan Ibnu Majah).
ALLAHU
AKBAR! Mudah-mudahan kita semua memperolehinya. Dan untuk
memperolehinya, mestilah kita letakkan usaha yang sungguh-sungguh mulai
sekarang, doa, tawakkal dan penuh harap kepada ALLAH Jalla wa A`la agar
kita dimasukkan ke dalam golongan hamba-hambaNYA yang beruntung, amin…
LabbaiKA ya ALLAH! LabbaiKA ya ALLAH!
Read more