Thursday, July 26, 2012

SKR

Kereta Perodua harga RM40 ribu, cukai kerajaan BN RM16,500 untuk setiap kereta [ Sharpshooter ]


KEADILAN memandang serius butiran pendapatan isi rumah dan bebanan isi rumah yang disiarkan oleh Jabatan Statistik melalui Laporan Kajiselidik Pendapatan dan Kemudahan Isi Rumah 2009 (Household Income and Basic Amenities Survey Report 2009). Maklumat yang kini boleh diteliti oleh rakyat Malaysia ternyata menunjukkan bebanan isi rumah yang makin meruncing.

Ada beberapa fakta penting dari laporan tersebut yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak; iaitu:

1. 53% dari keseluruhan isi rumah di Malaysia hanya berpendapatan RM3,000 ke bawah sebulan;

2. 71.9% dari keseluruhan isi rumah di Malaysia mempunyai atau menggunakan kereta;

3. Jumlah hutang kereta persendirian adalah hutang kedua terbesar selepas hutang rumah kediaman, berjumlah RM134.2 bilion pada akhir Mei 2012; dan

4. Jumlah hutang kereta persendirian telah meningkat sebanyak RM16 bilion atau 14% dalam tempoh 18 bulan, berbanding RM118 bilion pada November 2010.

Keadaan ini membayangkan bahawa hutang kereta, yang disebabkan oleh harga kereta yang tinggi adalah salah satu beban hutang utama kepada rakyat, pada kala sebahagian besar dari rakyat Malaysia hanya membawa pulang pendapatan isi rumah kurang dari RM3,000 sebulan.

Pentadbiran Umno/Barisan Nasional yang mengabaikan pelaburan dalam pengangkutan awam juga menyebabkan pergantungan rakyat kepada kenderaan persendirian, yang disahkan oleh laporan tersebut apabila 71.9% dari seluruh isi rumah di Malaysia mempunyai atau menggunakan kereta sebagai pengangkutan.

Oleh itu, dasar automotif Umno/Barisan Nasional yang menyebabkan harga kereta melambung tinggi adalah penyebab kepada tekanan hutang yang ditanggung oleh rakyat. Peningkatan hutang kenderaan persendirian yang kini dibiayai oleh sektor perbankan negara juga perlu dipantau supaya tidak melonjak naik pada kadar yang membimbangkan.

Makanya, satu-satunya jalan yang adil kepada rakyat adalah dengan mengambil tindakan drastik memperkenalkan mekanisme untuk menurunkan harga kereta. Kaedah ini akan mengurangkan bebanan hutang rakyat seterusnya meningkatkan pendapatan boleh guna (disposable income) dalam keadaan pendapatan isi rumah rakyat Malaysia rata-ratanya di bawah RM3,000 sebulan.

Rakyat Malaysia tahu bahawa harga kereta di Malaysia yang mahal adalah akibat dasar Umno/Barisan Nasional yang mahu melindungi kepentingan kroni mereka dengan menindas rakyat. Walaupun hanya 2 juta rakyat Malaysia yang perlu membayar cukai kerana pendapatannya melebihi had minima yang ditetapkan, hakikatnya setiap keluarga di Malaysia membayar cukai yang tinggi dalam bentuk pelbagai cukai yang dikenakan terhadap kenderaan persendirian.

Harga setiap kereta dilonjakkan oleh 3 jenis cukai yang dikenakan Umno/Barisan Nasional iaitu duti eksais ke atas setiap kereta, cukai import dan cukai jualan.

Kereta yang paling kecil dengan saiz enjin di bawah 1,500 cc akan dikenakan duti eksais 60% dan cukai jualan 10% (jika dikilang di Malaysia). Ini meningkat kepada 100% jika kereta itu diimport, dengan tambahan cukai import sebanyak 30%.

Ini bermakna, bagi sebuah kereta Perodua yang terkecil pada harga RM40,000, rakyat perlu membayar cukai sebanyak RM16,500 kepada kerajaan akibat dasar Umno/Barisan Nasional. Kadar cukai ini sudah tentu lebih tinggi bagi kereta-kereta yang lebih besar.

Lebih teruk apabila rakyat terpaksa pula mengambil pinjaman kereta pada kadar faedah yang tinggi untuk membayar cukai-cukai yang dikenakan kerajaan Umno/Barisan Nasional ini, bermakna rakyat dibebankan dua kali.

Isu ini adalah isu rakyat yang akan diperjuangkan oleh KEADILAN.

Pimpinan muda di dalam KEADILAN akan memastikan bahawa janji untuk menurunkan harga kereta akan dimasukkan menjadi salah satu janji utama di dalam manifesto Pakatan Rakyat untuk pilihanraya umum ke-13.

KEADILAN juga akan mula menganjurkan pelbagai sessi untuk mula meningkatkan sokongan politik supaya mana-mana parti yang bertanding di dalam pilihanraya umum akan datang berjanji akan merombak semula sistem cukai kereta yang sangat membebankan rakyat.



MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

YB NIK NAZMI NIK AHMAD
PENGARAH KOMUNIKASI KEADILAN

YB SIM TZE TZIN
TIMBALAN KETUA PENERANGAN KEADILAN
 
sumber


ADVERTISEMENT
SKR

About SKR

Author Description here.. Nulla sagittis convallis. Curabitur consequat. Quisque metus enim, venenatis fermentum, mollis in, porta et, nibh. Duis vulputate elit in elit. Mauris dictum libero id justo.

Subscribe to this Blog via Email :