Mitt Romney, calon presiden parti Republikan, dah pun mula melempar
ancaman ke atas beberapa buah negara terutamanya Republik Islam Iran,
jika dia memenangi pilihan raya Amerika Syarikat.
Romney juga menyokong penuh sekiranya negara Zionis Yahudi menyerang
Iran dengan alasan untuk menyekat negara Islam itu daripada memiliki
senjata nuklear.
Selain itu, semasa di bumi Palestin khasnya di Baitulmaqdis, Romney
dengan sombong dan bongkak menyatakan bahawa Baitulmaqdis adalah ibu
negara Zionis Yahudi dan ia tidak boleh dipersoal oleh mana-mana
negara.
Sikap dan pendirian Romney memperlihatkan ancaman besar kepada dunia
khususnya negara-negara Islam kerana dia jelas seorang yang memusuhi
Islam. Jika dia dipilih menjadi presiden Amerika Syarikat, bumi Palestin
akan kekal sepenuhnya di bawah penguasaan Zionis Yahudi dan
negara-negara Islam yang berjiran akan sama ada diserang atau diletak di
bawah telunjuk Washington dan Tel Aviv.
Keterangan gambar: Romney bersalaman dengan pengganas Zionis Benjamin
Netanyahu semasa mengunjungi Perdana Menteri negara haram itu di
Baitulmaqdis baru-baru ini.
Sikap dan pendirian Romney merupakan ulangan sejarah mengenai tekanan
dan ancaman oleh Amerika Syarikat ke atas dunia sejak pentadbiran
presiden Woodrow Wilson yang bersekongkol dan membantu Britain dan
Perancis menggarisi semula sempadan Eropah yang mengakibatkan perbalahan
demi perbalahan sehinggalah konflik Bosnia dan Kosovo.
Antara tahun-tahun 1920-an dan 1930-an, beberapa orang presiden Amerika
mengamalkan diplomasi kapal perang dengan negara-negara Amerika Selatan
termasuk menyerang dan mencerobohi Nicaragua dan Honduras.
Presiden Harry Truman pula menyokong diktator atau pemimpin kuku besi di
Asia dan Afrika melalui apa yang disebut sebagai "Doktrin Truman" dan
untuk itu banyak tentara Amerika terbunuh semata-mata diarah
mempertahankan rejim autokratik Syngman Rhee di Korea Selatan.
Dwight Eisenhower membenarkan agensi perisikan pusat Amerika, CIA,
mengatur rampasan kuasa di Iran yang membolehkan Shah Iran yang
pro-Barat berkuasa dan beliau meneruskan Doktrin Truman dengan berdiri
bersama-sama diktator di Amerika Latin dan Asia. Eisenhower mula
menempatkan bala tentera Amerika di negara-negara "sahabat dan sekutu"
yang dengan sendirinya memperlihatkan kepada dunia bahawa Amerika adalah
kuasa imperial dunia.
Presiden John F Kennedy pula menyerang Cuba, menghantar tentera ke
Congo, menyokong diktator Vietnam Selatan, menyerang Laos dan menambah
jumlah pangkalan tentera di seluruh dunia.
Lyndon Johnson secara diam-diam mengarah pengeboman ke atas Kemboja
manakala Ronald Reagan menghantar tentera ke Lubnan untuk mencampuri
perang saudara dan menyerang sebuah negara kecil bernama Granada,
mengebom Libya, menempatkan peluru berpandu di Eropah dan menyokong
diktator di El Salvador dan Guatemala.
Geroge W Bush (si bapa) menyerang Panama dan Iraq dan melaksanakan
sekatan dan melancar serangan udara yang membunuhn beratus ribu nyawa
termasuk kanak-kanak dan wanita.
Bill Clinton meneruskan sekatan dan serangan udara ke atas Iraq,
mengerah tentera untuk campur tangan di Bosnia dan Kosovo dan
menggunakan kuasa ketenteraan untuk meletakkan diktator di Haiti.
George W Bush (si anak) menyerang Afghanistan dan meneruskan serangan ke
atas Iraq mengakibatkan beratus ribu manusia yang tidak berdosa
terbunuh. Dia juga terlibat dalam penggulingan kerajaan sah di Haiti.
Bush juga memberi amaran kepada dunia supaya menyokong Amerika atau
menghadapi serangan dan pengeboman dengan alasan kononnya dia ingin
membawa demokrasi dan kebebasan. Bush juga berkata bahawa dia mendapat
arahan daripada "tuhan" untuk berbuat demikian.
Saya menurunkan apa yang dilakukan oleh beberapa orang presiden Amerika
semata-mata untuk menunjukkan bahawa pengganas sebenar dunia bukanlah
Al-Qaeda atau orang Islam tetapi Amerika Syarikat. Tiada negara lain
yang bertindak atau melakukan apa yang dilakukan oleh Amerika.
Amerika mungkin memperhebatkan tindakannya itu sekiranya Mitt Romney
dipilih sebagai presiden. Dia telahpun mengeluarkan amaran dan ancaman
untuk berbuat demikian. Jika ianya berlaku, maka keamanan manusia
sejagat akan musnah dan tidak mustahil perang nuklear akan berlaku yang
akan membawa bencana yang amat dahsyat.
Dunia hanya mampu melihat dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana Amerika
adalah satu-satunya kuasa ketenteraan besar dunia. Mungkin kerana
itulah, banyak pemimpin dunia yang seolah-olah dicucuk hidung dan
menurut saja apa yang diarah oleh Amerika termasuk menggelar beberapa
negara Islam sebagai paksi kejahatan dan negara yang menyokong
pengganas.
sumber: KUDA RANGGI