Pilihan Raya Kampus
SHAH ALAM – Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mendakwa sistem demokrasi dalam pilihan raya kampus di negara ini dicemari serta dimasukkan unsur-unsur yang tidak munasabah seperti merahsiakan maklumat penting kepada calon yang bertanding. Mohd Safwan Anang Bagaimanapun ujar Presidennya, Muhammad Safwan Anang, pilihan raya berkenaan masih relevan untuk diteruskan pada masa hadapan

“SMM masih berpendirian bahawa pilihan raya kampus sebagai medan yang melatih proses demokrasi negara dan kesedaran politik mula dibentuk melaluinya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Menurutnya, pilihan raya kampus memainkan peranan penting dan menggambarkan pilihan raya umum yang sebenar dalam dunia mahasiswa itu sendiri.

“Cukup dengan melihat kebangkitan pelajar pada masa apabila kita Pro-Mahasiswa memenangi semula pilihan raya kampus di beberapa universiti.

“Perkara itu disambut baik oleh pelajar dan kita lihat pada Pilihan Raya Umum ke-12, lima buah negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR),” katanya.


Jelasnya lagi, pelajar sedar siapa calon pilihan mereka dan memilih calon berdasarkan ideologi yang sama.

“Siapa lagi yang kita hendak harapkan, jika bukan pemimpin PR yang memperjuangkan pendidikan percuma dan memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya.
Ketika disoal tentang campur tangan luar, beliau menegaskan bahawa urusan pilihan raya kampus adalah urusan pelajar dan ia hanya memerlukan penglibatan pelajar secara keseluruhannya.
“Suruhanjaya pilihan raya kampus mesti memasukkan pelajar dalam menggubal undang-undang pilihan raya kampus.

“Jika tahun 70-an dahulu, pilihan raya kampus ini diuruskan oleh pelajar itu sendiri, tiada campur tangan,” katanya.

Beliau juga menekankan tentang tuntutan mereka terhadap penetapan tarikh pilihan raya kampus dan sistem yang digunakan.

“Tarikh pilihan raya kampus sepatutnya diletak dalam kalendar pengajian supaya ada tarikh yang tetap tetapi apa yang berlaku sekarang sama seperti apa yang berlaku di luar sana di mana tarikh pilihan raya umum masih menjadi rahsia sehingga hari ini.
“Sistem undian pula mesti menggunakan sistem lama iaitu sistem manual kerana ia mampu menyelamatkan kita daripada masalah dan ia lebih telus daripada e-undi,” jelasnya.