Mohd Hisyamuddin berkata polis terus mengekori mereka dengan kereta sehinggalah mereka sampai ke lokasi terkini di Bentong, Pahang pada hari ini.
"Tak ada sebarang apa-apa kejadian sepanjang perjalanan kami. Cuma ada pihak polis yang ikut dari Kuala Terengganu. Sampai sekarang di Bentong pihak polis masih ada.
"Di setiap tempat yang kita berhenti, polis akan ada dan tanya macam-macam. Mereka kata itu untuk rekod tetapi saya rasa mereka seperti nak melengah-lengahkan kami.
"Mereka memang ikut dengan dua buah kereta polis. Setiap tempat, polis lain-lain," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Kayuhan berbasikal itu dianjurkan Aktivis Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti).
Kumpulan aktivis itu memulakan kayuhan pada 1 Januari lalu bermula dari Kota Darul Naim, Kota Bharu dan dijangka akan tiba di Gombak pada jam 10 malam ini.
Acara berbasikal itu bertujuan bagi menyatakan tuntutan mereka berhubung royalti dan hak minyak di Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak dan Sabah.
Selain menuntut royalti minyak, kumpulan itu juga merancang untuk menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat yang akan diadakan pada Sabtu ini.
Kayuhan mereka setakat ini meliputi jarak sejauh 644 kilometer dan mereka akan meneruskan kayuhan sejauh 73 kilometer lagi dari Bentong ke Kuala Lumpur pada hari ini.
Kumpulan berkenaan seterusnya akan menamatkan kayuhan sejauh 18 kilometer dari Gombak ke menara KLCC esok.
Mereka akan menyertai kumpulan yang akan menyerahkan memorandum tuntutan royalti minyak kepada pengerusi Petronas Tan Sri Sidek Hassan selepas solat Jumaat esok.
"Pagi esok jam 8 pagi kita akan berlepas ke KLCC dan dalam pukul 2 petang selepas solat Jumaat, kita akan serahkan memorandum kepada pengerusi Petronas.
"Beliau telah maklum tentang kita datang nak serahkan memorandum," katanya lagi sambil menambah, selepas menyerahkan memorandum mereka akan ke Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru.
"Kita kalau tidak nak berkhemah di KLCC tapi tak dibenarkan oleh (Dewan Bandara Kuala Lumpur), jadi esok lepas serah memorandum kami ke Kelab Sultan Sulaiman," katanya lagi.
Mereka dijangka akan menuju Kelab Sultan Sulaiman bagi menyertai Festival Rakyat yang menjadi acara kemuncak menjelang Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka pada keesokan harinya.
Rakyat Marhean