Filem '21' mengisahkan gelagat enam siswa pintar cerdas Matematik yang mengguna daya fikir mereka untuk berjudi. Ben Campbell (Jim Sturgess) adalah siswa MIT yang terpaksa berjudi bagi melunaskan pembayaran yuran pengajian di Harvard sebanyak USD300,000 sepanjang tempoh pengajiannya. Beliau paling cerdas berbanding rakan-rakannya.
Cerita ini diangkat daripada buku terlaris Bringing Down the House, Ben Mezrich yang mengisahkan kewujudan MIT Blackjack Team. Ben Campbell dibawa masuk dalam kumpulan ini oleh Prof. Micky Rosa kerana kemampuannya mengira dengan pantas.
Ben bagaimanapun menolak pada asalnya kerana dia mahu hidup jujur bagi mendapatkan wang untuk melunaskan pengajian beliau di Harvard Medical School. Sebab itu Ben cuba mendapat Biasiswa Robinson. Malang sekali, sudah ada 76 permohonan dan kebanyakan pemohon biasiswa tersebut memiliki latarbelakang pendidikan yang baik.
"Semua pemohon mendapat markah yang baik seperti anda Ben, jadi anda tulislah sebuah esei yang menarik hingga kami fikir anda layak menerimanya," kata penemuduga itu.
Ben tiada kisah menarik untuk menulis eseinya
Di sini masalah Ben bermula. Sebagai siswa yang selalu menumpukan terhadap pelajaran Ben hampir tak menemukan sebuah perjalanan hidup yang menggembirakan sepertimana siswa-siswa lain yang gemar bersosial, berparti dan sebagainya.
Suatu hari di dalam sebuah kelas matematik Profesor Micky Rosa mencabar Ben mencari penyelesaian untuk mencari sebuah hadiah dalam sebuah pertandingan olok-olok. Beliau berjaya menyelesaikannya dengan mudah berbanding pelajar yang lain.
Micky mula menyedari kecerdasan Ben dan dari situlah dia dilatih secara rahsia di dalam kumpulan blackjack rahsianya dengan 5 orang rakan sekelas Ben yang lain.
Setelah membuat latihan dan menjalani tempoh percubaan, Ben telah dilantik sebagai 'big player' dan rakan pasukannya bertindak sebagai 'spotters'. Big player membuat pertaruhan terbesar setelah 'spotters' membuat pertaruhan kecil. Daripada pertaruhan kecil itulah 'big player' akan mengetahui maklumat rekod daun yang akan diberi oleh 'spotters'.
Setelah mahir, pasukan rahsia 'blackjack' Harvard itu mula beroperasi dari Boston ke Las Vegas setiap hujung minggu. Mereka menyewa suite mewah dan bermesyuarat diketuai pensyarah mereka, Micky. Ben yang mula jadi liar dalam dakapan kemewahan.
Ben seorang penjimat cermat orangnya, duit hasil kemenangan pertama diagihkan dan dia mendapat USD16,700 yang disimpan atas bumbung kolej kediamannya. Akhirnya, beliau berjaya mengumpulkan lebih USD300,000. Tapi, ketagihan berjudi sukar dihentikan.
Setelah membawa pulang kemenangan demi kemenangan, kegiatan mereka mula dihidu oleh pihak pengawal kasino, Cole William. Rupa-rupanya, Micky adalah seorang penjudi handalan ketika usia mudanya dan dia pernah diburu oleh pengawal kasino tersebut.
Dalam suatu permainan, Ben ditangkap dan William mengesyaki Ben ada hubungan atau dilatih oleh Micky Rosa yang pernah diburunya satu masa dahulu. William meminta agar Ben memerangkap Micky ke Las Vegas untuk diberkas. Ben bersetuju.
Apabila Ben pulang ke kampus, wang simpanan di atas bumbungnya telah dicuri dan dia mendapat surat berhenti belajar daripada Harvard. Ini semua gara-gara Micky, tetapi Ben tidak dapat membuktikannya. Ben berasa dirinya dikhianati oleh Micky.
Ben menukar strategi untuk perangkap Micky agar cuba bertaruh sekali lagi di Las Vegas pada kali berikutnya. Kali ini Micky bersetuju. Dan Ben telah dapat tempatnya semula di Harvard dengan bantuan Micky. Mereka bertaruh sekali lagi dan menang $640,000!
Tapi pada kali inilah Micky tertangkap. Dan Ben dilepaskan William kerana bekerjasama dengan pihak kasino untuk memerangkap Micky. Bagaimanapun, William curang kerana bertindak merampas wang hasil kemenangan pertaruhan itu.
"Aku mahu bersara dengan wang itu," tegas William kepada Ben, sambil menunjuk pistol yang tersisip di pinggangnya."
sumber:http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=016419&Itemid=111