Wednesday, March 4, 2009

SKR

Menjadi Naqib Yang Terbaik

1 ) Berikan Kasih Sayang

Proses pentarbiyahan diibaratkan seperti proses keibuan yang boleh dilihat di mana-mana. Seorang ibu itu merangkul bayinya, menyusukannya, bersusah payah bersengkang mata kerananya, mengucupnya dengan penuh perasaan kasih sayang yang tidak dapat disifatkan, penuh keikhlasan dan tanpa syarat (unconditional love).

Si anak juga bagai sangat-sangat mengerti perasaan si ibu; jika ada yang cuba merampasnya dari ibunya ia pastikan merengek, dia faham akan memek muka ibunya dan kenal sangat akan bau harum ibunya. Itulah dia tarbiyah; kasih sayang.

Hampir keseluruhan inti karangan kitab Imam Al-Ghazali Al-Ihya’ merupakan inti pati tarbiyah. Tidak akan berjaya sesebuah usaha tarbiyah selagi tidak terbina jambatan kasih sayang antara murabbi dan murid. Seseorang murid tidak akan memahami pengajaran guru yang tidak disukainya, sekalipun gurunya sering berkata yang benar.

Rasulullah s.a.w telah mengajar satu wasilah di mana jika kita menjadikannya pengamalan di dalam masyarakat Islam kita, pasti akan berkembang bibit-bibit kasih sayang antara masyarakat Islam; iaitu sebarkan salam. Melalui ajaran Rasulullah ini, kami mendapati bahawa tarbiah tidak memerlukan kata - kata yang banyak; hanya dengan sekadar mengucapkan “Assalamu’alaikum!”.

Mudah kan? Bagaimana seseorang manusia boleh berkasih sayang dengan saudara insannya yang lain? Beberapa saranan telah ditunjukkan oleh Rasulullah. Antaranya ialah dengan bersenyum (Janganlah kamu memperkecilkan urusan sesebuah amal makruf itu, walau sekadar kamu bertemu saudara mu dengan wajah yang ceria) Allahu akbar!


Tanyakan hal ehwal saudara kamu, saling ber-tahaadii (memberi hadiah), mendoakan antara satu sama yang lain dan berkongsi sama perasaan suka dan dukanya. Semua ini adalah wasilah-wasilah yang mudah. Tidak perlukan banyak usaha dan kata-kata!

Setelah kaum muslimin menang dalam peperangan Badr Al-Kubra, orang-orang Quraisy telah berjaya menculik saiyidina Khabbab Bin Al-Arat dengan tujuan membunuhnya. Mereka mengikatnya dan ingin menyalibnya. Abu Sufyan yang pada ketika itu sebagai ketua kaum Quraisy telah bertanya kepadanya “Wahai Khabbab! Dalam keadaan mu sekarang ini, adakah kau redha kami gantikan kamu dengan Muhammad?” Menjawab Saiyidina Khabbab “Tidak! Aku tidak redha sama sekali Rasulullah disakiti walau dengan sekecil duri sekalipun!”

Itulah dia kasih sayang yang telah mengikat jiwa para sahabat r.a dengan Rasulullah s.a.w sehinggakan kaum Quraisy mengatakan “Kami tidak pernah melihat seseorang mengasihi saudaranya seperti mana para sahabat Muhammad mengasihi Muhammad!”


Rasulullah s.a.w dan saiyidina Abu Bakar r.a pernah sekali itu disakiti sewaktu mereka berada di Mekah. Mereka dipukul dan dihina sehinggakan saiyidina Abu Bakar pengsan kerana mempertahankan Rasulullah dari disakiti. Apabila beliau sedar dari pengsannya, ketika ibunya ingin memberinya sedikit minuman, beliau menolak dan berkata “Aku ingin mengetahui keadaan Rasulullah terlebih dahulu”. Ini lah dia contoh cinta sesosok peribadi yang telah ditarbiyah oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Dalam Perang Uhud, setelah kaum muslimin membawa khabar kekalahan mereka di medan perang, seorang wanita bertanyakan “Apakah kesudahan peperangan?” Mereka pun menjawab “Telah terbunuh suami mu”. Si wanita berkata “Aku tidak bertanyakan itu”. “Telah terbunuh ayah mu”. “Bukan itu yang aku tanyakan”. “ Telah terbunuh saudara lelaki mu”. “Aku tidak bertanyakan dia”. “Telah terbunuh putera mu”. Si wanita menjawab “Aku tidak bertanyakan tentang mereka semua itu. Aku ingin bertanyakan, apa khabar Rasulullah s.a.w?” Mereka pun menjawab “Rasulullah berada di dalam keadaan baik-baik saja”. Si wanita pun berkata “Alhamdulillah, semua musibah setelah (mengetahui keadaan) mu, ya Rasulullah, adalah kecil!”

Seorang lelaki berjalan ke sebuah kampung. Lalu turunlah malaikat menanyakan “Kenapa kah kamu berjalan ke kampung itu?” Beliau menjawab “Aku ingin menziarahi si fulan”. Malaikat itu terus bertanya “Adakah kau mempunyai pertalian darah dengannya?” Beliau berkata “Tidak ada. Cuma aku mengasihinya kerana Allah”. Lalu malaikat itu pun mendoakannya “Moga Allah mengasihi mu atas sebab kasih mu terhadap saudara mu itu dan Allah telah menetapkan syurga sebagai ganjaran buat mu.”

Seorang lelaki mendatangi Baginda Rasulullah s.a.w dan berkata kepada Baginda: “Ya Rasulullah! Aku ingin bersama-sama mu di syurga nanti.” Tanya Rasulullah: “Apakah yang kau siapkan untuk itu?” Katanya: “Tiada lain kecuali cinta ku kepada Allah dan RasulNya.” Bersabda Baginda: “Seseorang itu akan dibangkitkan dengan orang yang dikasihinya”.

2 ) Tunjukkan Qudwah Hasanah

Jika seorang anak mendapati ibunya tidak bersikap jujur dengannya, dia tidak akan mendengar kata ibunya. Jika seorang guru menyuruh muridnya untuk membuat sesuatu sedangkan dia sendiri tidak membuatnya, muridnya tidak akan patuh suruhannya. Seorang murid perlu mendapatkan murabbinya sebagai qudwah hasanah baginya.

Umat Islam terdahulu mendapatkan Rasulullah sebagai qudwah mereka. Seperti yang diturunkan Allah ke atas kaum muslimin ayat: “Sesungguhnya bagi kamu sekalian dalam diri Rasulullah itu sebuah uswah hasanah (contoh yang baik).”

Semua orang bertanggungjawab dalam usaha tarbiyah perlu menjadi qudwah hasanah bagi orang-orang yang ditarbiyahnya. Suatu hari, ketika cuaca panas terik di kota Madinah, Rasulullah keluar dari rumahnya. Dalam perjalanan, Baginda bertemu dengan sahabatnya saiyidina Abu Bakar dan saiyidina Umar. Baginda pun bertanya: “Apakah yang membuatkan kamu keluar dari rumah mu?” Jawab mereka: “Kami tidak keluar dari rumah kami kecuali kerana sudah terlalu kelaparan, ya Rasulullah!” sambil menyelak baju mereka dan sebiji batu diikat di tengah-tengah perut masing-masing. Lalu Rasulullah menyelak jubahnya dan 2 biji batu diikat di perut Baginda yang sedang meronta kelaparan.

Para sahabat pernah meriwayatkan bahawa mereka selalu berlindung di belakang tubuh sasa Rasulullah ketika peperangan semakin sengit. Rasulullah ketika membahagi-bahagikan tugas kepada para sahabatnya sewaktu mengorek lubang parit, berkata “Dan aku pula akan mengumpulkan kayu-kayu arang.”, yang merupakan bahagian tugas yang paling susah ketika itu.

Kebiasaan saiyidina Umar Bin Khattab ketika menyandang jawatan sebagai Amirul Mukminin, setelah selesai memberi arahan di atas mimbar, beliau akan terus pulang ke rumah dan memberitahu ahli keluarganya: “Aku telah memberi arahan kepada kaum muslimin. Nah! Sekarang orang semua pasti akan melihat kepada kelakuan keluarga Umar.” Jadi, bagi sesiapa yang ingin mentarbiyah, perlu menunjukkan contoh yang baik. Jika tidak, dia akan menjadi bencana kepada dakwah yang dijalankannya.

3 ) Mengembangkan Potensi

Ketika Rasulullah bertemu dengan saiyidina Abdullah Bin Mas’ud (yang ketika itu sedang menggembala kambing) buat pertama kali dan setelah Baginda bertanyakan kepadanya beberapa soalan, beliau pun berkata “Sesungguhnya kau adalah pemuda yang sangat bijak.” Rasulullah telah membongkar potensi-potensi Abdullah Bin Mas’ud hanya dengan beberapa soalan yang diajukan. Abdullah Bin Mas’ud kemudian itu - dan dengan berkat doa Baginda Rasulullah - telah menjadi salah seorang Imam dan Ulama bagi kaum muslimin. Itulah dia tugas seorang naqib dan murabbi.

Rasulullah s.a.w telah mengenal pasti potensi para sahabatnya dan selalu menggalakkan mereka mengembangkan potensi masing-masing dengan memberi gelaran-gelaran kepada sahabatnya seperti Abu Bakar As-Siddig (yang selalu membenarkan), Umar Al-Faruq (yang membezakan antara yang hak dan yang batil), Abu ‘Ubaidah Amin Al-Ummah (pengamanah umat), Khalid Bin Walid Saifullah (Pedang Allah). Baginda mengenal potensi mereka.

Jika potensi-potensi tepat pada orang yang memilikinya dan dipelihara sungguh-sungguh, akan membuahkan hasil yang sangat baik. Tidak wajar bagi murabbi memberi gelaran yang tidak sesuai dengan keperibadian muridnya.


Pengenalan ini Rasulullah dapatkan kerana baginda sebagai seorang murabbi sering berkumpul dengan para sahabatnya, makan minum bersama mereka, berbual-bual dengan mereka, berlumba dengan mereka dan memahami perwatakan masing-masing keperibadian sahabat-sahabatnya. Ini adalah hasil at-ta’aamul (pergaulan).

Jika seorang ibu hanya sempat melihat anaknya 2 jam setiap hari (kerana kesibukan bekerja di luar rumah) dan si anak menghabiskan baki masa yang lain dengan si pembantu rumah, adakah si anak akan dapat mengembangkan rasa kasihnya pada ibunya, mengambil qudwah hasanah dari ibunya?

Jika seorang guru hanya bergaul dengan muridnya sewaktu berada di antara empat dinding bilik kuliah, bagaimana si murid boleh mengambil qudwah darinya? Perlu ditekankan di sini, jika perasaan kasih sayang itu ingin dibina, maka perlu menjalani proses at-ta’aamul itu.


4 ) Mengambil berat

Apabila seorang mendatangi saiyidina Abdullah bin Abbas di masjid pada ketika itu beliau sedang beriktikaf di Masjid Nabi, orang itu meminta beliau menunaikan sebahagian hajatnya, maka saiyidina Abdullah bin Abbas mencapai capalnya dan ingin keluar dari ibadah iktikafnya. Saat itu, beliau ditegur oleh beberapa orang yang mengatakan “Wahai Abdullah! Tidakkah kamu ingat bahawa kamu sedang beriktikaf di Masjid Nabi?” Beliau pun menjawab “Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah pernah bersabda: “Barang siapa yang berjalan untuk menunaikan hajat saudaranya, maka itu adalah terlebih baik dari beriktikaf di masjid ku selama sebulan.”

Imam Al-Ghazali menyatakan dalam kitab Al-Ihya’: “Adalah merupakan kewajipan seorang murabbi dan naqib untuk mengambil tahu hal ehwal murid-muridnya; rumahnya, rezekinya, tugasnya dan keperluan-keperluannya. Seorang murabbi perlu membantu muridnya dari sudut material hingga dia akan dapat memenangi hati muridnya dan terus membawanya berjalan ke jalan Allah.”

Imam Sa’id Bin Al-Musayyab bertanyakan berita muridnya yang telah tidak menghadiri kuliah ilmunya selama 2 hari. Apabila muridnya ditanya, dia menjawab ringkas “Isteri ku telah wafat”. Si imam pun berkata kepadanya dengan perasaan penuh tanggungjawab “Akan ku kahwinkan mu dengan puteri ku” yang pada ketika itu pernah dipinang oleh khalifah Abdul Malik bin Marwan.

Sesebuah proses tarbyiah perlu kepada 4 komponen asas ini, iaitu; Murabbi, Murid, Manhaj dan Bi’ah Solehah (suasana yang baik). Dalam konteks dakwah semasa, biasanya kita tidak menghadapi masalah di dalam mendapatkan 3 komponen yang terakhir, tetapi masalah selalu timbul apabila kita cuba mendapatkan sebuah sosok peribadi murabbi yang baik. Jika kita ingin berkhidmat kepada dakwah Islamiah dengan baik, kita perlu mewujudkan sosok-sosok peribadi murabbi yang baik. Bagaimana kita mewujudkan mereka ini?

Jika kita singkap kembali keadaan umat Islam pada zaman sekarang ini, sekali imbas kita akan mendapati bahawa umat Islam sedang dalam keadaan yang lemah, wilayah-wilayahnya ditawan, Al-Aqsa masih lagi di dalam genggaman musuh. Pernah satu ketika, dua orang tokoh Islam berjumpa, mereka ialah Imam Al-Ghazali dan Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani. Mereka membincangkan bagaimana menyelamatkan keadaan ummah yang sedang tenat pada ketika itu.

Akhir sekali, mereka sama-sama bersetuju untuk mengasaskan Madrasah An-Nizamiah (pada ketika itu) dan menjalankan tarbiyah yang sangat berkesan sehingga dapat melahirkan tentera yang dianggotai oleh panglima-panglima Islam seperti ‘Imaduddin Zinkiy dan Salahuddin Al-Ayyubi. Apabila diperiksa aktiviti askar-askar tersebut di waktu malam, mereka didapati sedang bersolat malam, bertilawah Al-Quran atau bermunajat kepada Allah taala, lalu berkata lah panglima perang: “Sesungguhnya tentera seperti ini tidak akan kalah sama sekali.”


Maka jelaslah bagi para pembaca sekalian, bahawa isu kemenangan umat Islam bukanlah satu isu yang rumit tetapi, persoalan yang lebih penting dari itu bagaimana kita mewujudkan barisan murabbi dan individu-individu muslim yang bersedia untuk ditarbiyah atas petunjuk Allah taala.

Sesungguhnya tarbiyah memerlukan kepada roh. Jika roh tarbiyah hilang, maka semua usaha tarbiyah tidak akan memberi kesan dan tidak akan dapat membuahkan hasil yang baik. Saiyidina Ali k.w ketika sudah menyandang jawatan khalifah bertanya kepada para sahabat “Apakah angan-angan kamu semua?” Ada yang menjawab: “Aku berangan-angan jika aku bisa mempunyai harta yang banyak maka akan ku-infaq-kan di jalan Allah”.

Namun apabila beliau ditanya “Apakah yang kau cita-citakan, wahai Amirul Mukminin?” Beliau menjawab “Aku bercita-cita jika aku mempunyai orang-orang seperti Abu Bakar, Umar, Abu ‘Ubaidah, Khalid sehingga aku boleh membuka kota-kota dengan orang-orang seperti mereka ini”

ADVERTISEMENT
SKR

About SKR

Author Description here.. Nulla sagittis convallis. Curabitur consequat. Quisque metus enim, venenatis fermentum, mollis in, porta et, nibh. Duis vulputate elit in elit. Mauris dictum libero id justo.

Subscribe to this Blog via Email :