Thursday, April 16, 2009

SKR

KENAPA SEMANGATKU MEREDUP

Assalamua’alaikum w.b.t

Aku mengeluh sendirian . Sudah hampir seminggu hatiku selalu diliputi dengan perasaan gelisah dan was-was. Ibadahnya banyak menurun, kualiti mahupun kuantiti. Bacaan Qur’an, solat dan zikirnya hanya sebagai rutin yang tidak lagi memberikan rasa nikmat. Aku menyedari bahawa diri ini semakin merasa berat untuk meluangkan waktu untuk membaca surah-surah Quran, berlama-lama dalam solat dan mengisi waktu untuk berzikir. Selalu muncul keinginanku untuk mempersingkatkan waktu solat hingga aku dapat melakukan aktiviti lainku – study atau berbual dengan teman-teman sebilik.

Sikap Lemah

Sikap lemah yang timbul pada diri seseorang ketika dia melakukan ibadah, setelah pada asalnya dia bersemangat, disebut juga dengan istilah futur, seperti apa yang dialami oleh diriku ini. Salah satu bentuk futur adalah rasa malas beribadah bahkan meninggalkannya sama sekali. Sikap lemah tersebut timbul akibat renggangnya hubungan seorang hamba dengan Penciptanya. Kesibukan yang dapat menurunkan kualiti dan kuantiti ibadah, banyaknya maksiat atau dosa kepada Allah, akan menyebabkan seseorang merasakan kesempitan dalam urusan dan kegelisahan dalam hatinya. Saat itulah hubungan seorang hamba dan Sang Pencipta menjauh.

Imam Hasan Al-Basri mengatakan : “Kebaikan itu merupakan cahaya dalam kalbu. Cahaya kalbu yang akan memberikan kekuatan pada tubuh. Sedangkan keburukan itu merupakan kegelapan kalbu, kegelapan yang akan menimbulkan kelemahan tubuh."

Timbulnya Futur

Futur boleh disebabkan antara lain oleh :

1. Maksiat kepada Allah

Perbuatan maksiat yang diiringi dengan sikap tenang ketika melakukannya (tanpa merasa bersalah dan tidak diiringi dengan istighfar) dapat merosak hubungan seseorang dengan Allah SWT. Dosa-dosa kecil yang diremehkan seseorang akan semakin menompok. Dalam sebuah hadisnya Rasulullah SAW pernah melukiskan, bahawa seorang mukmin yang melakukan dosa, maka dosa itu seperti satu titik hitam dalam hatinya. Jika dia beristighfar, maka hatinya akan bersinar kembali. Apabila tidak, maka titik hitam itu akan menutupi hatinya seperti yang difirmankan Allah:

Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka. (QS83:14)

Hati yang diliputi titik hitam itu, kata Rasulullah, akan menjadi lebih hitam sehingga tidak dapat membezakan antara kebenaran dan keburukan. Urwah bin Zubair, salah seorang ulama tabi’in pernah mengatakan: “Apabila kalian menyaksikan seseorang melakukan kebaikan, ketahuilah bahawa kebaikan itu memiliki saudara-saudaranya yang lain bagi orang tersebut. Apabila kalian lihat seseorang melakukan keburukan, ketahuilah bahawa keburukan itu mempunyai saudara-saudaranya yang lain bagi orang tersebut. Kerana sesungguhnya kebaikan itu menunjukkan saudaranya, dan demikian pula keburukan menunjukkan saudaranya."

Memang benar, bahawa seseorang yang berbuat dosa akan cenderung untuk melakukan dosa lain. Sebaliknya seseorang yang melakukan satu kebaikan akan cenderung untuk melakukan kebaikan berikutnya. Keburukan akan melarat pada sikap buruk lainnya, demikian pula kebaikan.

2. Sikap terlalu berlebihan terhadap hal-hal yang dibolehkan (mubah)

Allah memerintahkan untuk melakukan segala sesuatu secara seimbang dan tanpa melampaui batas. Allah berfirman:

Makan dan minumlah, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. (QS7: 31)

Abu Sulaiman ad-Darani mengatakan bahawa seseorang yang makan terlalu kenyang akan ditimpa 6 jenis penyakit, yang salah satunya adalah perasaan malas untuk beribadah. Logiknya benar. Bukankah orang yang merasa perutnya kenyang memboyah lebih suka tidur daripada lama berdiri di waktu shalat atau duduk untuk berzikir dan bertafakkur? Tentu saja sikap berlebihan yang dimaksud bukan hanya berlebihan dalam hal makan.

3. Tenggelam dalam kenikmatan dunia

Ertinya, terlalu mengutamakan dunia atau tenggelam dalam aktiviti pencarian harta dan kenikmatan dunia. Dr. Mustafa as-Siba’i pernah menuliskan dalam bukunya sesuatu yang patut kita renungi: “Ada dua cinta yang tidak pernah bersamaan dalam satu waktu pada jiwa seseorang, iaitu cinta Allah dan cinta maksiat ...".

Bagaimana seseorang boleh mencintai Allah, sedangkan perbuatan maksiatnya itu menjauhkannya dari Allah? Atau bagaimana seseorang boleh melakukan maksiat, sedangkan dia sangat cinta kepada Allah? Tepatlah apa yang dikatakan oleh Dr. Mustafa bahawa kedua cinta ini tidak akan pernah tumbuh bersama.

Masing-Masing Ada Saatnya

Fenomena futur ini sebenarnya merupakan satu perkara yang lumrah. Rasulullah SAW bersabda: “Setiap amal itu ada masa semangat dan ada masa lemahnya. Barangsiapa yang pada masa lemahnya dia tetap dalam sunnah (petunjuk) ku, maka dia telah beruntung. Namun barangsiapa yang beralih kepada selain itu bererti dia telah celaka." (HR. Ahmad)

Satu hari seorang jurutulis Rasulullah, Abu Rub’i Hanzalah, pernah datang kepada Rasulullah dan mengadu: “Wahai Rasulullah, Hanzalah telah berbuat nifak ...". “Apa yang kamu maksudkan dengan nifak itu?" tanya Rasulullah. “Wahai Rasul, ketika kami bersama-sama anda dan anda mengingatkan kami akan Neraka dan Syurga, seolah-olah keduanya ada di kelopak mata kami. Tetapi bila kami tidak bersamamu, kami dilalaikan oleh anak, isteri serta tanah ladang kami yang menjadikan kami banyak lupa." Kemudian Rasulullah bersabda: “Demi Zat yang diriku ada ditanganNya, sekiranya kalian terus-menerus dalam keadaan sebagaimana ketika kamu bersamaku, dan selalu dalam keadaan berzikir, nescaya malaikat akan bersalam denganmu ketika kamu berada di pasar dan di jalanan. Akan tetapi wahai Hanzalah, masing-masing itu ada saatnya." (HR. Muslim)



Seimbang Dan Realistik

Namun, dua hadis di atas tidak dapat menghalalkan sikap kita ketika mengalami kelemahan dalam beribadah. Tetapi minimumnya ada tiga perkara yang dapat kita gali dari dua hadis tersebut :

Pertama, bahawa Rasulullah sendiri menganggap fenomena futur itu sebagai hal yang wajar, manakala pada saat lemah itu seseorang tetap memelihara kewajiban dan perintah Allah serta sunnah Rasulullah. Sebagaimana manusia diciptakan dengan kapasiti yang terbatas, kelemahan dan kelelahan dalam beribadah adalah salah satu tabiatnya. Kini tinggal bagaimana mereka mengisi saat-saat lemah itu dengan tindakan yang tidak mengabaikan tuntunan Islam. Ibadah mempunyai cakupan yang luas dan tidak terbatas pada aktiviti tertentu yang dapat menjemukan. Ucapan Rasulullah pada Hanzalah: “Masing-masing itu ada saatnya," menunjukkan bahawa bermain dan bergurau dengan keluarga atau mencari nafkah adalah hal yang diperbolehkan dan bahkan sangat dianjurkan dalam Islam, asalkan semuanya itu dilakukan dengan tidak berlebihan.

Kedua, sikap futur yang ditolelir oleh Islam adalah futur yang terjadi pada batas waktu tertentu dan tidak terus-menerus. Jangan kerana menganggap fenomena futur itu wajar, seseorang bersikap “santai-santai" saja ketika ia menyadari bahawa ia sedang futur hingga berlarut-larut. Tetapi segeralah mengambil sikap seperti yang dicontohkan dalam hal ketiga berikut ini. .

Ketiga, adanya sikap sensitif para salafus soleh dalam merasai kesalahan yang dilakukan dan usaha untuk memelihara diri dari kesalahan tersebut, seperti yang dicontohkan oleh sikap Hanzalah. Mereka senantiasa menjaga kesinambungan amal soleh yang mereka lakukan. Kelemahan manusiawi memang tetap ada. Namun hal itu tidak membuat mereka lalai terhadap kewajiban mereka terhadap Allah.

Saling Menegur

Kadangkala seseorang tidak mengetahui kekurangan dan kesalahannya bahkan tidak sedar bahawa dirinya sedang mengalami futur, kecuali melalui teguran dan nasihat orang lain. Justeru, menghadapi gejala futur dengan segala fenomenanya menjadi tanggungjawab bersama dan tidak boleh dilakukan secara sendirian.

... dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran. (QS. 103:3)

Wallahu ‘a’lam.

ADVERTISEMENT
SKR

About SKR

Author Description here.. Nulla sagittis convallis. Curabitur consequat. Quisque metus enim, venenatis fermentum, mollis in, porta et, nibh. Duis vulputate elit in elit. Mauris dictum libero id justo.

Subscribe to this Blog via Email :