(petikan dari buku Sheikh Mustafa Mashyur)
Oleh : Us Din Tantawi
Seperti kata-kata Saidina Ali (ra), "Janganlah kamu kenali sesuatu kebenaran itu kerana orangnya, sebaliknya kenalilah kebenaran tersebut dahulu, nanti kamu akan kenali orangnya".
Hatta, dengan jemaah juga, seseorang itu harus mengetahui terlebih dahulu ciri-ciri jemaah tersebut sebelum menggabungkan diri kedalamnya.
Artikel ini adalah berdasarkan huraian Sheikh Mustafa Mashyur dalam bukunya, 'Contoh Tauladan Sepanjang Jalan Dakwah' dan 'Dakwah Fardiah'. Perkara-perkara yang dihuraikan hendaklah diambil sebagai panduan atau rujukan bagi sesiapa sahaja yang ingin membuat pilihan dan menggabungkan diri dalam sesebuah jemaah untuk menunaikan tanggungjawab dakwah yang diwajibkan keatasnya.
Pilihan seseorang itu memerlukan perincian yang halus, hikmah, penjelasan yang terang dan meyakinkan dan tidak terburu-buru. Dalam medan dakwah masakini, terdapat banyak jemaah-jemaah yang mempunyai ciri-ciri tersendiri, dan huraian ini juga tidak bertujuan untuk menimbulkan perbezaan dan persengketaan antara jemaah yang sedia ada, tetapi sebaliknya mengharapkan ianya dijadikan sebagai titiktolak bagi sesebuah jemaah tersebut untuk kembali kepada hakikat kesatuan ummah sejagat berdasarkan ciri-ciri haraki Islam yang dihuraikan.
Dua puluh (20) perkara asasi yang perlu ada pada sebuah Jemaah Islam Contoh ialah :
1) Tujuan menegakkan jemaah ini ialah kerana Allah dan memiliki segala ciri-ciri Rabbani, serta mencari keredhaanNya (mardhatillah). Jemaah ini jauh dari matlamat keduniaan seperti mencari kemasyhuran, kedudukan atau suka menonjol diri. Jemaah ini hendaklah juga jauh dari dorongan-dorongan Jahiliyyah seperti taa'sub kelompok (assabiyah), batas-batas geografi atau kenegaraan (nationalisma), dan seumpamanya.
Perkara seperti ini akan merosakkan amalannya dan membawa jemaah ini kearah kegagalan.
2) Jemaah Islam ini hendaklah menggunakan AlQuran dan Sunnah sebagai sumber rujukan, dan menjaga dirinya supaya ia tidak tunduk dibawah kehendak orang tertentu, kerajaan ataupun apa sahaja, sekiranya ia memberi kesan buruk kepada kepada gerakan dakwahnya atau mempengaruhi mesej dakwahnya.
3) Jemaah itu dibangunkan atas tujuan yang menyeluruh dan bersepadu yakni untuk menegakkan agama Allah dibumi ini dengan mendirikan Daulah Islamiah Alamiyyah (Negara Islam Sedunia). Manhajnya (methodologi) adalah berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) untuk mencapai tujuan ini, dan juga apa yang disyariatkan oleh Islam (ijmak atau qias). Jemaah tidak sepatutnya mengongkong dirinya dalam 'perkara-perkara juzuk' dalam Islam seperti ekonomi, politik, ibadah dan sebagainya.
4) Kefahaman jemaah ini terhadap Islam hendaklah menyeluruh (kesyumulan Islam) dan pendekatan dakwah yang digunakan juga adalah bersifat menyeluruh (syamil). Kefahaman Islam, cara dan mesej dakwah yang dibawa mesti bertepatan dengan Quran dan Sunnah Rasulullah (saw), dan bersih dari sebarang kesamaran, penyelewengan dan perbezaan pendapat yang boleh memecah-belahkan orang-orang Islam.
5) Jemaah ini mestilah bersifat universal (alamiyyah) dan tidak tertakluk pada batas-batas negeri dan suku bangsa, kerana dakwah Islam adalah ditujukan kepada sekelian alam. Jemaah ini juga menekankan bahawa orang-orang Islam semuanya adalah umat yang satu (wahdatul ummah) dan sentiasa bergerak kearah kesatuan ummah. Dengan sifat alamiyyahnya, jemaah ini berjuang untuk menegakkan Negara Islam Alamiyyah dengan menggunakan Kaedah Sulbah, bukan Negara Islam Geografi sahaja. (sila rujuk karangan Ustaz Said Hawa, 'Durus Fil Amal AlIslami')
6) Jemaah ini mestilah mengikut kaedah perjuangan yang digunakan oleh Rasulullah saw ketika baginda mendirikan Negara Islam. Kaedah yang digunakan oleh Rasulullah (saw) adalah berperingkat (marhalah), beransur-ansur (tadarruj), kejelasan risalah dakwah, kemampuan ahli, melaksanakan hikmah dan kewaspadaan dalam setiap langkah, serta mengambil kira faktor persekitaran (waqi').
Baginda mementingkan perkara-perkara seperti kemantapan aqidah, iman dan ibadah, mengutamakan kekuatan persaudaraan dan penyatuan umat Islam, mengambil kira prinsip jihad dan ketenteraan, tarbiyyah, dan lain-lain lagi.
Jemaah ini mesti menekankan Kaedah Sulbah yakni, membina individu Islam, keluarga Islam, masyarakat Islam, negara Islam dan baharulah Dunia Islam. Perlu ditegaskan bahawa penggunaan kekuatan senjata sebelum aqidah, tarbiyyah dan penyatuan umat Islam akan membawa kepada perpecahan umat Islam dan kemudharatan yang besar. Sesungguhnya, pembinaan yang membesar secara tabii (Kaedah Sulbah) itu bermula dari dasar (individu) dan bukan dari puncak (negara).
7) Jemaah ini hendaklah menjaga amalannya dari mencari propaganda dan menunjuk-nunjuk, kerana ini boleh menghilangkan sifat keikhlasan dan ganjaran pahala. Setiap anggota jemaah itu hendaklah mengutamakan dirinya untuk terus berdakwah dan bekerja untuk Islam dan menghindarkan dirinya dari sebarang sifat tercela (mazmumah), perdebatan, prasangka, menabur fitnah dan 'tajassus' dan apa sahaja yang boleh menimbulkan perselisihan dan kurang daya produktif dalam berdakwah.
Firman Allah swt, "Hai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum itu merendah-rendahkan kaum lain kerana mungkin kaum lain itu adalah lebih baik... jauhilah prasangka... janganlah kamu mencari-cari kesalahan atau mengunjing orang lain; sukakah kamu memakan daging saudaramu yang telah mati? Hai manusia, Allah telah mencipta kamu lelaki dan perempuan, bangsa-bangsa, suku-suku supaya kamu saling berbaik. Sesungguhnya, orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa diantara kamu" (Surah Hujurat:11-13)
8) Jemaah ini bekerja mengikut perancangan yang sempurna dan realistik. Segala tindakan yang diambil bukan lah secara spontan ataupun hanya reaksi yang tidak dikaji terlebih dahulu kerana ini boleh mengakibatkan risiko atau natijah yang buruk. Membangunkan individu, keluarga, dan masyarakat dalam semua lapisan umat Islam dilakukan atas dasar taqwa sebagai persediaan sebelum mendirikan Negara Islam.
9) Jemaah ini mengambil berat tentang semua aspek pendidikan dan pekerjaan yang dikehendaki, yakni aspek rohani, jasmani, mental, dan ilmu. Dari segi politik, jemaah ini hendaklah melahirkan suara Islam dengan jalan kesedaran politik, dan tidak semestinya dengan cara berparti dan jauh sekali dari mengamalkan putar-belit ataupun kemelut parti sekular. Dari segi komunikasi, jemaah ini mementingkan peranan sebaran am, akhbar, penulisan serta apa jua cara yang dapat menyebarkan kan dakwah serta menolak kekeliruan yang boleh timbul dari fitnah musuh atau sesiapa sahaja.
10) Jemaah contoh ini jangan sekali-kali meninggi diri serta sentiasa membuat perbandingan dengan jemaah-jemaah Islam yang lain dan tidak menganggap jemaahnya sahaja yang sempurna dan benar, sementara jemaah lain adalah sesat. Jangan memperkecil-kecilkan usaha jemaah-jemaah lain atau melihat jemaah lain sebagai saingan atau lawan, tetapi sebaliknya carilah ruang-ruang untuk bekerja sama.
Hendaklah dia sentiasa berusaha kearah penyatuan (wahdatul ummah) dengan jemaah-jemaah lain dan sentiasa bersabar, berlapang dada dan menerima segala kritikan dengan baik. Dengan izin Allah swt, kita semua mengharapkan akan tiba masanya, hilanglah semua nama-nama, gelaran dan perbezaan teknikal antara semua jemaah yang ada sekarang dan akan digantikan dengan satu Jemaah Muslimun.
11) Jemaah ini hendaklah bercampur-gaul dengan semua orang dari segenap lapisan tidak kira bangsa, warna kulit, bahasa ataupun pangkat, demi mematuhi konsep alamiyyah yang disarankan. Mereka adalah ladang dakwah dan tapak semaian yang perlu disediakan terlebih dahulu sebelum mendirikan Negara Islam.
12) Jemaah ini mempunyai peraturan yang kemas serta organisasi (tanzim) yang tersusun, yang menentukan tujuan kerja dan cara-cara berdakwah. Anggota jemaah adalah terdiri daripada mereka yang telah dididik (tarbiyyah) sepenuhnya, membentuk barisan-barisan yang terpilih dan berkeperibadian Islam, dan tidak dicampuri anasir-anasir yang tidak sihat, demi menjamin penerusan serta mesej dakwah yang dibawanya.
13) Konsep syura hendaklah diamalkan dalam setiap peringkat dan menggalakkan ahlinya supaya terus berbincang dan mengeluarkan pendapat serta kritikan yang membina kepada orang-orang yang memegang tanggungjawab tertentu atau pimpinan. (muhasabah) Konsep ketaatan dan kepatuhan dalam perkara yang bukan maksiat sentiasa ditekankan
14) Jemaah ini sentiasa bersifat sederhana dan tidak melampau, samada dalam aspek pemikiran seperti isu kafir-mangkafir dan isu perbezaan jemaah-jemaah Islam; atau dalam aspek gerakan seperti menggunakan kekerasan dalam tindakan, mengeluarkan kecaman-kecaman, dan fitnah dengan sewenang-wenangnya, yang mana boleh membuatkan orang Islam lari ataupun benci kepada Islam. Segala tindakan yang diambil hendaklah berteraskan kasih sayang (mahabbah), waqii (persekitaran) semasa, tawazun (keseimbangan), hazar (waspada) dan tasawwur (prospek) amal yang jelas. Dari segi aqidah dan ibadah, jemaah ini tidak bertolak-ansur sedikitpun..
15) Sentiasa memeriksa tanggungjawab serta mengikuti isu-isu semasa yang dihadapi oleh umat Islam seluruh dunia dan sama-sama memberi sumbangan sekadar mampu. Sentiasa menyeru orang-orang Islam agar sama- sama memberi sumbangan bagi tujuan menghidupkan semangat perpaduan serta sama-sama merasa tanggungjawab terhadap apa yang berlaku pada umat Islam keseluruhannya.
16) Jemaah ini sentiasa berwaspada dengan tipu-helah musuh Islam, sentiasa bersabar, tetap bekerja, berkorban dan banyak bermunajat kepada Allah apabila menanggung penderitaan dan kecaman semasa berdakwah.
17) Jemaah ini sentiasa menekankan kepentingan dakwah dan penegakan Negara Islam Alamiyyah kepada anggotanya. Kegiatan dakwah yang dilakukan adalah sebagai saham yang berharga kepada generasi akan datang. Ganjaran daripada Allah akan datang kepada mereka yang beriman dan bersabar, didunia ini dan juga diakhirat sebagaimana firman Allah swt dalam surah Al-Hadiid: 28:
"Hai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada RasulNya, nescaya Allah akan memberi rahmatNya kepada kamu dua bahagian, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan, dan Allah akan mengampunimu".
18) Jemaah ini sentiasa memikirkan langkah-langkah masa depan serta bergerak (muharriq) untuk menyediakan kemahiran dalam berbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, perundangan, dakwah, kesihatan, ketenteraan, sosial dan lain-lain lagi.
19) Jemaah ini hendaklah mengambil kesempatan dalam setiap penerokaan baru samada dalam bidang pemikiran, pengalaman-pengalaman dakwah, ataupun kajian sains selagi ia tidak menyalahi prinsip Islam.
20) Jemaah ini sentiasa menketakutan yang dialami. Mereka ini akan terus beribadat kepada Allah dengan tidak mempersekutukanNya dengan apa sekalipun. Dan ingatlah, sesiapa yang kufur atau engkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka".
Demikianlah penjelasan yang terperinci mengenai marhalah ini. Apa yang baik itu sesungguhnya bersumberkan dari Allah swt, dan segala kekurangan itu adalah merupakan kelemahan diri saya sendiri.
Kerajaan dan Sekolah: Dari Era ‘Laissez Faire’ ke Sentralisasi
-
Pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat dan
memastikan kesinambungan pembangunan sebuah negara. Namun, cara pendidikan
diurus dan d...
14 hours ago