Berita Terbaru :

Jom Baca!!!

Followers

Ayyuha al-Syabab


"Sudut yang paling merbahaya sekali dalam sesuatu umat yang sedang membangun-terutama di ketika masih dalam peringkat permulaan kebangkitan ialah lahirnya berbagai corak fikrah dan pegangan, pelbagai seruan, bermacam-macam program, pelbagai langkah dan cara yang bersimpang siur di samping lahirnya begitu banyak orang-orang yang berlagak penganjur dan pemimpin.

Semua itu hanya memecah belahkan tenaga serta mencerai beraikan kekuatan yang sedia ada lalu mengendalakan tercapainya segala matlamat yang dituju.

Menyedari hal inilah maka suatu kajian terhadap segala fikrah tadi serta suatu analisa perbandingan di antaranya merupakan suatu persoalan yang asasi yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang benar-benar inginkan reformasi"

-hassan al-banna-

Friday, January 13, 2012

Sasterawan, wartawan sokong padu gerakan siswa!


Oleh : H FANSURI

"Mahasiswa dari kota tanah air
bangunlah!
angkat matamu dari buku
lampaui dinding lampaui tembok
semua menunggu
mengajakmu bersama ke tengah jalan raya kota..."


Pada September, 1961 penyair revolusioner Usman Awang bermadah kata dalam selembar sajak mahasiswa. Ini berlaku sezaman Mogok Utusan 1961. Pada Disember, 1977, penyair revolusioner Indonesia W S Rendra mendeklamasikan Sajak Pertemuan Mahasiswa.

"Kita ini dididik untuk memihak yang mana?
Ilmu-ilmu yang diajarkan di sini
akan menjadi alat pembebasan,
ataukah alat penindasan?"


Kesimpulan awal, berdasarkan sirah pergolakan siswa, kaum penyair tidak pernah melupakan mereka. Sebermula... pada suatu petang ketika menziarahi Ahmad Lutfi Othman, tiba-tiba saya terlihat buku kumpulan sajak W S Rendra terbitan DBP. Kata Ahmad Lutfi, Usman menulis prakata untuk buku itu.

Dalam buku kumpulan sajak Rendra, saya kagum kerana pertama kali melihat sajak yang lebih panjang dibanding Sajak Pertemuan Mahasiswa. Kalau tak salah, judulnya 'Disambut Oleh Angin'. Menurut hemat saya, Rendra peram agak lama isi kandungan sajak itu, lalu disudahkannya di New York.

"Rendra sebut nama Soe Hok Gie dalam sajak panjang ini!" kata saya. Ahmad Lutfi membelek-belek lagi. "Tapi, nama yang disebut di sini Soe Hok Djin."

Mulanya, saya fikir Soe Hok Gie itu Soe Hok Djin. Rupanya, Soe Hok Djin (Arief Budiman) adalah abang Soe Hok Gie. Gie adalah siswa Sosialis yang tegar melawan Sukarno. Kedua-dua mereka saling bertukar fikiran. Begitu cara penyair revolusioner menunjukkan sokongan ke atas gerakan siswa Indonesia.

Di sana, ada juga Usman Awang mengabadikan selembar sajak bagi menghargai perjuangan Siti Noor Hamid Tuah. Siti Noor di UKM adalah adik Fatimah Sham di USM; kedua-duanya saling bahu-membahu membantu ayah mereka; Hamid Tuah. Itulah bukti sasterawan mendokong perjuangan siswa.

Itu cerita penyair, sasterawan yang menyokong gerakan siswa. Sementara itu ada juga kisah gerakan siswa yang menyinggung dasar pemerintah dengan jalan penulisan. Kisah pergolakan ini tertuang dalam memoir Meniti Lautan Gelora (Said Zahari). Cerita itu dikenali dengan nama Perbicaraan Fajar, pada tahun 1960-an. Said Zahari dengan kedudukannya sebagai orang surat khabar, bersama Lee Kuan Yew (peguam) telah tampil membela mahasiswa itu.

Demikian cerita orang khabar menyokong pelajar. Pada 2004, saya hadir Forlot (Forum Lorong Tengah), anjuran PKPIM yang membawakan A Samad Said. Saat itu, Pak Samad membicarakan novelnya, Hujan Pagi yang mengangkat tema perjuangan wartawan pada zaman pemerintahan British.

Pak Samad memberitahu, "Ada seorang ketua pengarang yang kritik perjuangan mahasiswa...". Nada dia bercerita, ternyata bergetar riak kurang senang. Namun, Pak Samad lelaki renta yang kuat berahsia. Sampai tamat forum, dia tidak beritahu nama ketua pengarang itu walau saya bertanya.

Hasil risikan teman, saya tahu bahawa ketua pengarang itu adalah A Samad Ismail. Memang ada tulisan lidah pengarang yang mengkritik gerakan siswa. Lidah pengarang menggambarkan pendirian akhbar. Jadi, mungkin hal itulah yang dikesalkan ketika Pak Samad bekerja di bawah tokoh wartawan itu.

Pada 2005, ketika bekerja di Siasah, saya berpeluang menemu bual A Samad Ismail buat kali pertama dan terakhir. Saya bertanya mengenai sikap beliau mengkritik gerakan siswa itu, "Pak Samad tak sokongkah gerakan mahasiswa zaman itu?"

"Saya sokong..." kata A Samad Ismail, ringkas.

"Habis, kalau sokong, kenapakah Tan Sri kritik gerakan siswa?" tanya saya lagi.

Dengan pantas dia menjawab, "Yang penting, awak laporkan gerakan siswa, sama ada sisi baik atau pun buruknya. Itu cara menyokong gerakan siswa.."

Saya dapat pelajaran baharu. Tidak semestinya, apabila wartawan mengkritik perjuangan siswa, maka hal itu bererti mereka tidak menyokong siswa. Ada yang mengkritik keburukan gerakan itu untuk memperbaiki gaya mutu persembahan demonstrasi pelajar tersebut.

Samada Said Zahari, Usman Awang, W S Rendra, A Samad Said dan A Samad Ismail telah jelas menunjukkan sikap mereka menyokong siswa dengan gaya penulisan tersendiri. A Samad Ismail menyokong pelajar dengan menyusun kritikan membina ke atas gerakan siswa pada zamannya. Dan nama mereka di atas inilah yang membentuk badan persuratan dan kesusasteraan Pena (Persatuan Nasional Nasional) yang terkenal hingga kini.

Begitulah setianya mereka dalam mempertahan seni dan kebudayaan bagi menggali resah gelisah umat lalu dipersembah kepada penguasa. Dalam esei 'Gerakan Kesusasteraan Kita Hari Ini' (Sikap dan Pemikiran Usman Awang, 1983), Usman berkata...

"Kesusasteraan adalah suatu alat penting untuk membangunkan kesedaran rakyat dan suatu senjata yang besar untuk membunuh fahaman kolot dan mundur yang membeku dalam jiwa rakyat. Alat senjata ini amat besar gunanya untuk menggulingkan segala keburukan dalam kehidupan rakyat."

Nampaknya, Usman sudah lama menggunakan perkataan 'guling'; suatu kata yang dikaitkan dengan semangat revolusi. Dalam esei lain, (Kesusasteraan Alat Penting Mengisi Kemerdekaan) Usman menulis, "Kesusasteraan adalah sumber yang mengalirkan kesedaran dan pengertian dalam membentuk jiwa rakyat seluruhnya…kesusasteraan yang bercorak rakyat, kepunyaan rakyat dan untuk rakyat."

Petang datang menjengah tiba. Sebelum pulang, Ahmad Lutfi membentang rumusan, "Sepatutnya kena ada solidariti penyair untuk gerakan pelajar. Jadi, kehadiran PAM (Paksi Anak Muda) itu ana sokonglah..."

Dalam jalanan pulang, saya terfikir juga, apakah kesedaran dan pencerahan seperti ini hadir dalam fikiran badan-badan persuratan dan kesusasteraan di negara kita? Iaitu, kesedaran bahawa sepatutnya penyair dan wartawan itu lebih banyak mencurahkan sokongannya ke atas gerakan siswa ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Pakatan Rakyat 2

Popular Posts

Mutiara Kata

"...... makanan semanis dan selazat ini bukan dibuat daripada wang ayah dan ibumu. Kenyangkan perut rakyatmu dengan makanan ini sebelum engkau mengenyangkan perutmu"

Khalifah Umar bin Khatab

Alexa Internet

There was an error in this gadget

Blog Archive