Alhamdulillah, saya baru selesai menonton filem Sang Pencerah. Filem ini mengisahkan ringkasan kisah hidup Kiyai Haji Ahmad Dahlan (semoga ALLAH merahmati beliau) yang merupakan pengasas sebuah organisasi yang diberi nama Muhammadiyyah.
Filem ini sarat dengan mesej untuk diambil pengajaran oleh kita semua, khususnya buat para pendakwah yang memperjuangkan usaha tajdid, iaitu suatu usaha untuk mengembalikan masyarakat agar kembali kepada ajaran ISLAM yang sebenar, sebagaimana yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.
InsyaALLAH, saya akan berkongsi dengan kalian beberapa pengajaran yang telah saya kutip hasil dari menonton filem yang sangat bagus ini. Kerana pada saya, walaupun jalan cerita atau kisah hidup seseorang tokoh itu memang sangat bagus untuk diketahui dan didekati, namun pengajaran-pengajaranlah yang lebih utama untuk kita fokuskan.
Peranan akal
Akal adalah kurniaan ALLAH Jalla wa A`la yang sangat besar manfaatnya kepada manusia. Dengan akal, manusia boleh berfikir. KH Ahmad Dahlan diceritakan sebagai seorang yang kritis semasa zaman remajanya. Beliau tidak menurut sahaja apa yang dilakukan oleh masyarakat kampungnya, walaupun amalan itu dikatakan sebahagian dari agama. Amalan khurafat, tahyul dan pengagungan yang tinggi terhadap pemimpin masyarakat adalah antara amalan yang menyalahi akal seseorang yang waras fikirannya. Melalui akal yang berfikirlah, maka manusia dapat membezakan mana yang baik dan yang buruk pada peringkat permulaan dan asas.
Hal ini mengingatkan saya akan kisah Nabi Ibrahim `alaihissalam dan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam. Kebijaksanaan dan fungsi akal yang sihat telah menjadikan dua insan mulia ini tidak terikut-ikut dengan kancah maksiat dan kesesatan masyarakat mereka. Dengan berfikir dan memaksimakan fungsi akal dengan cara yang betul serta dengan hidayah dan taufiq ALLAH, manusia bisa mengenal kebenaran.
Peranan ilmu
Disebabkan oleh akal dan fikiran remaja Muhammad Darwis (nama asal KH Ahmad Dahlan) yang tidak dapat menerima amalan masyarakat setempat, maka dibuat keputusan oleh beliau untuk menimba ilmu di Makkah, iaitu pusat terkumpulnya para ulama dan ilmu-ilmu ISLAM. Beliau meluangkan masa beberapa tahun di sana dan bercampur dengan para ilmuan yang berbagai latar belakangnya. Malah, beliau turut terkesan dengan gerakan tajdid yang dibawa oleh Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad `Abduh.
Kepentingan ilmu mesti selalu ditekankan oleh para ibubapa, ilmu dan pemimpin masyarakat. Agama yang diamalkan dengan ilmu diibaratkan KH Ahmad Kiyai di dalam filem tersebut sebagai muzik biola yang dihasilkan oleh orang yang pandai bermain biola. Muziknya mendatangkan kedamaian dan keindahan pada orang yang mendengarnya. Sebaliknya apabila biola itu dimainkan orang yang tidak mahir, maka bunyi biola yang dihasilkan adalah sumbang dan meresahkan orang sekeliling yang mendengarnya.
Itulah ibarat agama. Agama apabila dibawa oleh orang yang berilmu akan mendatangkan rahmat dan kesejahteraan kepada ummat. Samada orang yang beragama Islam atau yang belum beragama Islam akan mendapat 1001 kebaikan daripadanya. Namun, apabila agama dibawa oleh orang yang tidak berilmu, maka agama akan dilihat oleh masyarakat sebagai menyusahkan, menekan dan banyak unsur-unsur asing turut dianggap sebagai agama. Hal ini membuatkan manusia semakin menjauh dari agama. Justeru, adalah penting bagi ummat ISLAM terutama yang menjadi pendakwah mempunyai ilmu yang mantap tentang agama.
Keyakinan
Dengan akal yang waras dan ilmu yang benar, maka akan lahirlah sebuah keyakinan. Di dalam filem ini, telah dipaparkan betapa KH Ahmad Dahlan sangat yakin dengan perjuangannya. Walaupun terdapat tentangan yang kuat oleh masyarakat setempat, namun dengan keilmuan beliau maka diteruskan perjuangannya itu. Bukan mudah untuk membawa perubahan yang sudah sekian lama berakar umbi di dalam masyarakat dengan pelbagai ajaran khurafat, tahyul dan penambahan yang diwarisi oleh generasi demi generasi. Apatah lagi ini semua direstui oleh pimpinan masyarakat yang berlatarbelakangkan agama, kononnya amalan itu semua adalah sebahagian dari agama.
Usaha Kiyai Dahlan yang ingin membawa perubahan ini telah ditentang kuat sehingga beliau dituduh kafir dan malah langgar ilmu (sebuah rumah khas untuk pengajian) yang digunakan untuk menyebarkan dakwahnya dirobohkan secara paksa oleh penduduk setempat. Kekuatan dalaman yang mantap dan keyakinan yang jitu sangat-sangat diperlukan bagi berhadapan dengan cabaran yang besar ini. Para pendakwah mesti mempunyai nilai ini. Tanpa keyakinan, perjuangan dakwah bisa runtuh di pertengahan jalan.
Sokongan
Walaupun telah berbekal dengan akal yang sihat, ilmu yang mantap dan keyakinan yang teguh, namun, bukan mudah untuk berhadapan dengan cabaran yang melintangi perjuangan dakwah. Kadang-kadang hati goyah juga. Di dalam filem ini, isteri KH Ahmad Dahlan digambarkan sebagai seorang wanita yang patuh dan taat kepada suaminya. Tidak banyak peranan yang dizahirkan oleh isteri beliau di dalam filem tersebut.
Namun, pada saat Kiyai Dahlan terasa lemah dan menyoal kepada dirinya kenapalah beliau tidak menurut sahaja masyarakat setempat dan tidak memulakan dakwah perubahan ini, ketika itulah peranan isteri beliau sangat-sangat tertonjol dan memberi kesan yang mendalam buat Kiyai Dahlan. Isteri beliau mengimbas kembali bagaimana suaminya itu adalah manusia yang istimewa pada matanya sebelum mereka mendirikan rumahtangga. Kiyai Dahlan bukan seperti pemuda biasa yang menurut sahaja amalan masyarakat setempat. Disebabkan oleh sikap kritis inilah menjadikan Kiyai Dahlan sangat istimewa pada pandangan isterinya yang ketika itu masih dara remaja. Jika Kiyai Dahlan bukan begitu orangnya, besar kemungkinan mereka tidak bertemu dan tidak menemui jodoh. Kata-kata seperti ini dari seorang isteri kepada suami, saya kira bisa memberikan kuntuman bahagia di dalam hati serta mendatangkan kekuatan dalaman yang bertingkat-tingkat.
Hasil tarbiyah Kiyai Dahlan kepada isterinya, isteri beliau berupaya memberikan nasihat agama buatnya pada saat-saat yang genting ini. Memiliki isteri yang solehah adalah perhiasan yang paling utama di dunia kerana melaluinya hati akan menjadi tenteram dan pendirian akan menjadi teguh. Betapa besar peranan seorang isteri dalam memberi sokongan kepada seorang suaminya. Di dalam filem tersebut, isteri beliau telah meletakkan posisi dakwah KH Ahmad Kiyai kembali di atas landasan yang kukuh dengan mengungkapkan ayat al-Quran yang berbunyi:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا
إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Surah Muhammad 47:7)
Apabila saya terdengar ayat ini diungkapkan, wah terasa diri disiramkan air kesegaran untuk berdakwah.
Cekal walaupun terpaksa bersendirian
Atas keyakinan beliau bahawa apa yang dibawa beliau adalah benar, maka beliau tetap cekal dengan pelbagai mehnah dan tribulasi yang menimpanya, keluarganya serta anak-anak muridnya. Memang telah diakui oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bahawa orang yang membawa kebaikan ini akan merasa asing dan diasingkan oleh masyarakat.
“Sesungguhnya bermula datangnya ISLAM dianggap asing (aneh) dan akan datang kembali asing seperti permulaannya. Namun berbahagialah orang-orang yang asing itu.” (HR Muslim)
Hadith ini selalu saya dengar dan disebut oleh para pendakwah betapa terasingnya rasa diri tatkala ingin menyeru manusia ke jalan kebenaran. Meremang tengkuk saya apabila hadith ini disebut oleh anak-anak murid KH Ahmad Dahlan di dalam satu babak yang menunjukkan anak-anak muridnya berdiri di hadapannya lalu beriltizam akan berdiri teguh bersamanya walaupun apa cabaran yang bakal mendatang. Kerana itulah sifat dakwah.
Mencari peluang dan tidak menolak peluang
Dalam menyebarkan dakwah, KH Ahmad Dahlan bukan sahaja menumpukan kepada masyarakat setempatnya sahaja. Malah beliau sentiasa mencari peluang untuk meluaskan lagi lidah dakwahnya. Kerjasama dengan pelbagai pihak dengan bermatlamatkan dakwah tidak seharusnya ditolak oleh para pendakwah.
Bantu orang-orang miskin dan anak yatim
Di dalam filem tersebut, sangat nyata ditunjukkan betapa prihatinnya KH Ahmad Dahlan terhadap orang-orang miskin dan anak yatim. Diberinya makanan, pendidikan dan lain-lain bantuan yang diperlukan.
Ada satu babak di dalam filem tersebut ketika sedang menunggu waktu untuk berbuka puasa, KH Ahmad Dahlan dan anak-anak muridnya berhalaqah ilmu terlebih dahulu. Ditanya oleh salah seorang anak muridnya kenapa kita selalu mengulang-ulang bacaan surah al-Ma`uun, sedangkan banyak lagi surah untuk dibaca dan dibincangkan.
Lantas ditanya kembali oleh Pak Kiyai kepada anak muridnya itu, “Sudah berapa ramai orang miskin dan anak yatim telah engkau santuni?” Beliau menambah lagi, “Kita belajar al-Quran bukan untuk segera hafal semuanya, tetapi untuk dilaksanakan ajaran yang terkandung di dalamnya.” Lebih kurang begitulah kata-katanya.
Saya kira mesej sebegini jarang ditekankan oleh para guru. Berbuat baik kepada orang-orang miskin dan anak yatim adalah penting dan kita risau kita nanti digolongkan sebagai orang yang mendustakan agama sebagaimana yang disebut di dalam surah al-Ma`uun, na`udzu billahi min dzalik.
Berorganisasi dan Berpakatan
Firman ALLAH Subhanahu wa Ta`ala:
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ
وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ
وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Surah Ali-`Imran, 3:104)
Ayat di atas menjadi alasan yang kuat untuk KH Ahmad Dahlan membentuk satu organisasi yang tersusun bagi menyampaikan usaha amar ma`ruf dan nahi mungkar.
Sepanjang filem ini, telah ditunjukkan beberapa usaha dakwah KH Ahmad Dahlan yang mana beliau tidak hanya menjalankan dakwah ini secara berseorangan. Beliau telah menjalinkan pakatan dan bergabung dengan lain-lain kumpulan bagi menjayakan seruan pembaharuan ini. Apabila kita berpakat dengan pihak lain dan ingin berdakwah dalam skala yang lebih besar, maka persiapan dan nilai toleransi mesti ada.
Kita tidaklah boleh hanya ingin membawa nilai kita sendiri sahaja. Perlu juga diraikan nilai-nilai lain dari pihak yang kita telah pilih untuk bergabung dengan mereka. Semua aspek keduniaan boleh kita toleransi dan berlapang dada akannya. Tetapi, jika bertembung dengan pihak bukan muslim dalam hal agama, maka prinsipnya ialah “lakum dinu kum wa li yadin” iaitu “bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.
KH Ahmad Dahlan hanya menubuhkan organisasinya setelah beliau benar-benar bersedia dari segi ilmu dan pengalaman hasil dari belajar dengan lain-lain organisasi yang telah beliau bekerjasama sebelum ini. Organisasi yang diberi nama Muhammadiyah telah diwujudkan bukan untuk kepentingan peribadi tetapi khas untuk mengatur sosial masyarakat ke arah yang lebih baik dan sesuai dengan ajaran agama ISLAM yang sebenar.
Adab, Adab, Adab
Pada pandangan saya, nilai adab begitu ketara menjadi mesej utama filem ini. Ditonjolkan di dalam filem ini betapa ahli masyarakat saling hormat-menghormati dan saling menjaga adab sesama mereka.
Memang terdapat unsur kekerasan yang ditunjukkan oleh pemimpin masyarakat di dalam filem ini, namun ia lumrah seorang pemimpin yang ingin menjaga keharmonian dan kemaslahatan masyarakatnya. Beliau hanya bertindak melindungi masyarakatnya agar tidak dicerobohi dengan unsur-unsur asing yang belum tentu benar atau tidaknya. Sifat pemimpin masyarakat yang suka bermesyuarat dahulu sebelum membuat keputusan dan menghormati setiap ahli mesyuaratnya sangat perlu dicontohi.
Sebagai pendakwah yang ingin membetulkan ahli masyarakat, KH Ahmad Dahlan di dalam filem ini telah mengajar kita bahawa dakwah mestilah dijalankan dengan penuh adab dab sabar. Beliau sentiasa menjaga adabnya sebagai seorang yang berilmu dengan semua peringkat masyarakat. Walaupun beliau rasa perjuangannya benar, namun beliau sentiasa menghormati golongan agama yang terlebih dahulu memimpin masyarakatnya. Beliau tidak melampaui batas ukhuwwah dalam berdakwah. Beliau tetap menghormati para ulama tradisi, tetap tidak melangkaui susunan sosial sedia ada, tetap menjaga tata susila dan menjaga perkataan apabila berhujah dengan golongan ulama tradisi, tetap mengikuti peraturan dan amalan setempat dalam batas yang dibenarkan dan banyak lagi elemen-elemen adab yang ditunjukkan di dalam filem ini.
Saya kira ia boleh diambil iktibar yang banyak oleh para penyeru tajdid yang rata-rata dari golongan muda bagaimana berinteraksi dengan masyarakat secara sejahtera dalam masa yang sama menyebarkan mesej dakwah. Sekurang-kurangnya dengan menjaga adab, banyak perkara buruk boleh kita elakkan.
Hasil dari adab dan mengutamakan ukhuwwah, akhirnya dakwah tajdid yang dibawa oleh KH Ahmad Dahlan diterima bukan sahaja oleh masyarakat setempat, malah diberi ruang oleh pemimpin agama setempat. Mereka berlapang dada dalam hal ini, asal sahaja ukhuwwah Islamiyyah terjaga. Saya cukup terkesan dengan kata-kata berikut yang diungkapkan oleh pemimpin ulama tradisi pada akhir filem kepada KH Ahmad Dahlan ketika mereka bersendirian berdua di dalam masjid:
“Kita ini sama-sama muslim, sama-sama bersaudara….. Kita lakukan tugas kita masing-masing, melindungi kewibawaan agama kita, kebenaran ada di tangan ALLAH, manusia seperti kita hanya berikhtiar”
Fikir-fikirkan…
Untuk mengenali organisasi Muhammadiyah dengan lebih dekat, mungkin kalian boleh melawat laman web berikut, insyaALLAH: http://www.muhammadiyah.or.id/
Itulah antara yang sempat saya catitkan di sini. Sebenarnya banyak lagi, tetapi saya rasa kalian mesti tontonnya sendiri untuk mengutip banyak mesej pengajaran daripadanya, khususnya buat pendakwah yang ingin membawa mesej tajdid bagi mengembalikan semula ummat ke ajaran ISLAM yang sebenar.
Saya secara peribadi sangat menggalakkan kalian menontonnya. Filemnya bagus, jalan ceritanya menarik dan sarat dengan pengajaran. Semoga catitan ini bisa memberi manfaat buat diri saya kalian yang sudi membacanya.
WAllahu Ta`ala A`lam.
Andai Anak Anda Sendiri Melakukan Protes di Kampus USA dan UK
-
Jika anak anda belajar di universiti di Amerika Syarikat ataupun di United
Kingdom ataupun mungkin di negara-negara lain dan anak anda terlibat dengan
prot...
6 months ago