Saturday, January 1, 2011

SKR

Timbalan menteri sokong himpunan pelajar 1.1.11



Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah mengalu-alukan penganjuran Himpunan Mahasiswa Untuk Malaysia yang berlangsung esok dan berharap ia berjaya menjadi pemangkin bagi memperkasakan gerakan mahasiswa negara dalam seluruh spektrum kehidupan termasuk politik.

Saifuddin berkata seruan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menganggap remaja sebagai 'rakan kongsi' kerajaan dilihat sebagai amat bersesuaian dengan dua keperluan besar dalam gerakan pembangunan mahasiswa.

"Pertama, keperluan untuk memenuhi tiga permintaan asas mahasiswa iaitu: mahasiswa mahu suaranya didengar, mahasiswa mahu peranannya diiktiraf dan mahasiswa mahu isu-isunya ditangani dengan cara yang berorientasikan mahasiswa," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata keperluan menghayati hakikat menjadi keperluan kedua iaitu selain sebagai pemimpin masa depan, mahasiswa yang juga pemimpin hari ini iaitu pemimpin bagi generasi yang lebih muda, juga adalah pemimpin bagi angkatannya dan rakan kepimpinan dengan universiti dan kerajaan.

"Justeru, sudah tiba masanya kita bersama dalam langkah untuk memenuhi kedua-dua keperluan tersebut. Satu daripada kaedahnya ialah dengan melakukan inovasi demokrasi iaitu dengan meningkatkan dan meluaskan penyertaan mahasiswa dalam struktur dan proses membuat keputusan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, isu membenarkan mahasiswa terlibat politik adalah relevan sebagaimana yang didukung pelbagai pihak termasuk Majlis Belia Malaysia (MBM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar Institut Pengajian Tinggi 2010 dan Makmal Pemuda Barisan Nasional.

"Di samping itu, kita perlu memulakan diskusi inisiatif-inisiatif inovasi demokrasi yang lain seperti pendaftaran automatik pemilih, menurunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun, melantik wakil belia sebagai Senator dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sebagainya," katanya.

Saifuddin berkata langkah-langkah itu untuk mengisi perjuangan membentuk masyarakat baik yang berteraskan budaya ilmu, tamadun tauhidik, keadilan sosial, kemakmuran ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

- Bernama


sumber: malaysiakini

ADVERTISEMENT
SKR

About SKR

Author Description here.. Nulla sagittis convallis. Curabitur consequat. Quisque metus enim, venenatis fermentum, mollis in, porta et, nibh. Duis vulputate elit in elit. Mauris dictum libero id justo.

Subscribe to this Blog via Email :