Saturday, July 20, 2013

SKR

Ditegah tinggalkan majlis ilmu jika alasan lemah..

Oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat 

RASULULLAH s.a.w. bersabda bermaksud: "Apabila seseorang sampai ke suatu majlis maka hendaklah ucap 


salam, jika berhasrat untuk duduk serta ada peluang, duduklah. 



Apabila hendak bangun meninggalkan majlis ucaplah salam juga, kerana salam yang permulaan tidaklah lebih penting daripada salam yang terakhir (kedua-duanya mustahak)."  


Terdapat riwayat menyatakan bahawa separuh daripada sempurnanya penghormatan (tahiyyah) ialah dengan berjabat salam, iaitu setelah terhimpun antara ucapan salam dan berjabat salam. Falsafah ucap salam dan berjabat salam ialah menjadi simbol hubungan erat dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi, bersetia untuk sama mengharungi susah dan senang kehidupan. Saling tidak mengkhianati dan tidak memandang rendah antara kedua-duanya. 

Hasan Al-Basri berkata; bahawa berjabat salam itu menambah dan mengukuhkan kasih sayang. Tidak mengapa jika mengucup tangan orang yang dihormati dari segi agama, dengan tujuan untuk mendapat keberkatan daripadanya.



Terdapat riwayat bahawa Rasulullah s.a.w. mengizinkan para sahabat mencium tangan dan kepala baginda s.a.w., kerana perbuatan itu sebagai menyayangi dan hormat kepada Nabi s.a.w. yang mulia itu.
Sebagaimana kisah Sayidina Umar Al-Khattab r.a. bertemu seorang panglima Islam bernama Abdullah bin Muaz, yang dibebaskan daripada tawanan tentera Rom setelah beliau menghadapi ancaman bunuh, jika enggan kembali kepada agama asalnya Kristian.




Hasil daripada sikapnya yang bertegas tetap dengan keyakinan akidah Islam, lantas beliau serta sahabat yang sama tertawan telah dibebaskan dengan syarat mengucup kepala pembesar tentera Rom.
Abdullah serta kawan kawannya lakukan syarat yang dikenakan oleh ketua tentera Rom, kerana perbuatan itu tidak menyentuh akidahnya.

Sekembalinya ke Madinah dan kisahnya diketahui  oleh Sayidina Umar, lalu Khalifah Umar menganjurkan supaya orang Islam mencium kepala Abdullah bin Muaz, kerana kegagahan dan keperwiraannya, selain memang terdapat dalam sunnah mencium tangan dan kepala.




Dilarang membongkokkan diri ketika memberi salam.



Ini kerana ucapan salam itu adalah diturunkan dari langit kepada Nabi s.a.w., dengan kaedah yang diajar Islam (tanpa membongkok). Dan kaedah itu perlu dikekalkan. Adapun berpeluk merapatkan diri sambil kucup mengucup pipi memang telah warid, apabila kembali daripada musafir yang lama dan jauh.
Ini sebagai menggambarkan rasa rindu sahabat yang lama tidak berjumpa, dan juga kerana selamat dari bencana musafir jauh. Ia satu daripada sunnah dan ajaran Islam jika berkawan hendaklah sentiasa dalam akrab, apabila berjauhan akan menimbulkan rasa rungsing. Justeru, setelah selamat kembali segera berjabat salam dan memeluknya dengan erat, tanda hati lega di atas kepulangannya.




Menghormati ulama dengan pelbagai cara, sejak daripada mendekati kenderaannya dan menyambutnya turun dari kenderaan. Seperti yang dilakukan oleh Abdullah bin Abbas terhadap kenderaan Zaid bin Tsabit anak angkat Rasululah s.a.w. yang hidup bersama dengan baginda.



Semestinya berilmu dan ada keberkatannya. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Di majlis tertentu seseorang tidak boleh menyuruh orang lain bangun daripada tempat duduknya, dengan maksud dia hendak mengambil tempat duduk itu.” Orang yang baru masuk ke suatu majlis setelah member i salam tetapi tiada ruang untuknya duduk, tidak sayogia baginya berpaling lalu keluar daripada majlis tersebut.
Tetapi disunatkan dia terus maju ke hadapan sehingga telah nyata tiada ruang untuknya, maka duduklah di hujung majlis itu. Kaedah orang Islam apabila masuk ke suatu majlis hendaklah menuju ke hadapan, supaya orang yang masuk kemudian daripadanya akan duduk di belakangnya.




Dengan demikian terhindarlah perbuatan melangkahi bahu orang di majlis tersebut, kerana melangkahi bahu orang berpunca tidak penuhi ruang di hadapan. Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. duduk bersama orang ramai dalam majlis, ketika beliau berucap masuk tiga orang lelaki. Hanya dua orang sahaja yang dapat menghampiri Nabi s.a.w.



Namun hanya seorang sahaja yang duduk di sisi baginda, seorang lagi undur ke belakang dan duduk agak berjauhan dari Nabi s.a.w. di belakangnya. Orang yang ketiga tidak menghampiri Nabi s.a.w., jauh sekali untuk duduk.


Akhirnya dia berpaling lalu meninggalkan majlis.

Nabi s.a.w. melihat peristiwa tersebut lalu dibuat ulasan, berkata Nabi s.a.w. kepada sidang majlis: "Mahukah kamu semua mendengar cerita mengenai tiga orang yang masuk ke majlis tadi.



Yang seorang hendak mencari perlindungan Tuhan, maka Allah SWT beri peluang kepadanya duduk di majlis ilmu daripadaku, beliau mendapat hidayah daripada-Nya.
Adapun orang yang kedua undur ke belakang disebabkan malu, maka Tuhan malu juga memberi petunjuk sejajar dengan sikapnya.




Orang yang ketiga berpaling daripada majlis ilmu, Tuhan juga berpaling daripadanya sebanding dengan sikapnya membelakangkan Allah SWT."



Kesimpulannya, apabila sampai ke tempat pengajian ilmu, tidak sepatutnya berpaling dan meninggalkan majlis tersebut atas sebab yang lemah. Selain ia dimurkai Tuhan juga akan terjebak dengan anggapan buruk; sebagai orang yang tidak hormat dengan majlis ilmu.

ADVERTISEMENT
SKR

About SKR

Author Description here.. Nulla sagittis convallis. Curabitur consequat. Quisque metus enim, venenatis fermentum, mollis in, porta et, nibh. Duis vulputate elit in elit. Mauris dictum libero id justo.

Subscribe to this Blog via Email :