Sikap Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang memberikan kuasa autonomi kepada pentadbiran universiti dalam menentukan tarikh dan perjalanan Pilihanraya Kampus 2008 adalah tidak tepat. Malah, ia dianggap sebagai satu helah pihak KPT yang mahu melepaskan bebanan pendemokrasian pilihanraya kampus kepada pihak universiti.
Sebelum daripada ini, pihak KPT menjadi sasaran utama aktivis mahasiswa dalam menggesa KPT supaya bertanggungjawab dalam ketelusan dan keadilan dalam proses perjalanan pilihanraya. Hatta, aktivis mahasiswa sanggup berhimpun di lobi kementerian, pejabat SUHAKAM dan Parlimen untuk menuntut hak mereka.
Pilihanraya kampus perlu dinilai dengan pemikiran yang positif dan matang. Jangan anggap pilihanraya kampus adalah medan pergaduhan dan kontroversi, medan penyalahgunaan kuasa pelajar, medan membina puak dan parti, medan perpecahan dan medan kotor dan najis. Pilihanraya kampus adalah satu platform yang murni untuk mengangkat pemimpin dikalangan mahasiswa. Platform untuk mengajar mahasiswa mengenai kewajiban dan hak mereka untuk memilih dan dipilih sebagai pemimpin. Platform untuk memberikan kebebasan dalam ruang lingkup perlembagaan dan hukum Tuhan untuk mengekspresikan wawasan dan hala tuju mahasiswa, universiti dan negara.
Maka, lapangan pilihanraya ini perlu adil dan saksama. Pihak universiti mesti melantik pengurusan pilihanraya yang telus dan berintegriti. Pelanggan demokrasi juga menghormati dan mengiktiraf kredibiliti yang ada pada pihak pengurusan pilihanraya atau Suruhanjaya Pilihanraya Kampus. Sehubungan dengan itu, level playing fields ini kena adil pada semua. Bukan hanya kena adil, tapi mesti dilihat adil. Diantara perkara yang mesti dilihat adil adalah pihak pentadbiran universiti mesti memaklumkan kepada seluruh mahasiswa mengenai tarikh pilihanraya. Kenapa ada sesetengah universiti masih berteka teki? Paranoid? Belum bersedia? Malas?
Bila pihak pentadbiran tidak mahu memaklumkan tarikh tersebut, maka aktivis-aktivis mahasiswa akan mengspekulasikan bahawa pihak pentadbiran tidak telus, tidak adil dan berlaku komplot dengan mahasiswa aspirasi. Tambahan pula, sekarang ini berlaku pergolakan besar dalam UMNO. Maka, spekulasi dan telahan ini makin kuat. Lantaran itu, ramai orang akan menganggap pihak universiti tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan adil dan telus. Ini masalahnya! Dan ini baru satu isu..